- Iklan -
Berita

Vaksinasi remaja di Malaysia antara terpantas di dunia, kata Khairy

80% remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer dalam masa kurang dari dua bulan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Vaksinasi remaja dilancarkan pada September lalu di seluruh negara. Gambar: Bernama
Vaksinasi remaja dilancarkan pada September lalu di seluruh negara. Gambar: Bernama

Malaysia menjadi antara negara yang memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja terpantas di dunia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata 80% remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer dalam masa kurang dari dua bulan.

“Satu daripada pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja yang terpantas di dunia.

“Terima kasih, @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali), @DrMahHS (Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon) dan semua di CITF-A (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja). #LindungDiriLindungSemua,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Dr Noor Azmi merupakan Pengerusi CITF-A manakala Mah sebelum ini bertanggungjawab mengendalikan vaksinasi untuk kumpulan itu.

Menurut data kementerian kesihatan (KKM) menerusi portal CovidNow, sebanyak 1,367,216 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau 43.4% telah lengkap divaksin setakat semalam.

Sejumlah 2,524,156 remaja pula menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 8 September lepas.

Bagi populasi dewasa pula, 22,084,594 individu atau 94.3% telah melengkapkan vaksinasi mereka bagi tempoh sama manakala 97.3% atau 22,792,916 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Selain itu, sebanyak 235,607 dos harian vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di bawah PICK sejak dilancarkan pada 24 Februari adalah 48,673,215.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi