- Iklan -
Berita

28% bekalan air di Lembah Klang pulih

Bagaimanapun, peratusan pemulihan di Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih lagi sifar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja restoran di Sentul, Kuala Lumpur mengambil air daripada tadahan ketika bekalan air terganggu pada 13 Oktober. Gambar: Bernama
Seorang pekerja restoran di Sentul, Kuala Lumpur mengambil air daripada tadahan ketika bekalan air terganggu pada 13 Oktober. Gambar: Bernama

Pemulihan bekalan air di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mencapai tahap 28% setakat 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata berdasarkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air mengikut wilayah, Kuala Selangor telah mencapai tahap 75.6%, Hulu Selangor (60.7%), Petaling (60.4%), Shah Alam (40.4%) dan Klang (0.9%).

“Sementara itu, peratusan pemulihan di Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih lagi sifar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gangguan bekalan disebabkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa 1 (LRA SSP1) yang dimulakan pada 9 pagi, Rabu.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang telah mendapat bekalan air, agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.