- Iklan -
Berita

392 kes libat varian membimbangkan dikesan, kata KP kesihatan

Menurut Noor Hisham, 384 kes adalah varian Delta dan lapan lagi membabitkan varian Beta.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Noor Hisham berkata daripada kajian terbaru oleh enam institusi menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.
Dr Noor Hisham berkata daripada kajian terbaru oleh enam institusi menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.

Sebanyak 392 kes positif Covid-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dikesan di dalam negara bagi tempoh 25 September lepas hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 384 kes adalah daripada varian Delta (B.1.617.2) dan lapan lagi membabitkan varian Beta (B.1.351).

Dr Noor Hisham berkata kajian mutasi “Spike Protein Covid-19” di Malaysia itu dijalankan enam konsortium iaitu Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara.

Turut terlibat ialah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika UM (Tidrec-UM), Institut Genom Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada 2,252 kes yang dikesan, sebanyak 2,232 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah varian mempunyai kepentingan (VOI).

“Secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 1,996 kes varian Delta, 222 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha berada dalam kategori VOC,” katanya.

VUM terdiri daripada Theta, Kappa dan Eta selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 30 Sept lepas meletakkannya dalam varian itu. Sebelum ini, ketiga-tiganya dikategorikan sebagai VOI.

Kini, hanya Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) dikategorikan sebagai VOI.