- Iklan -
Berita

PM bentang RMK12 dengan menetapkan 9 fokus utama

Ismail berkata RMK12 akan membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bersama pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri berjalan menuju ke dewan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14. Hari ini Ismail membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 dalam meletakkkan hala tuju negara berdasarkan konsep Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bersama pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri berjalan menuju ke dewan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14. Hari ini Ismail membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 dalam meletakkkan hala tuju negara berdasarkan konsep Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.

Berobjektifkan “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Ismail Sabri, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos, membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Rakyat, dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12.

Dipenuhi pelbagai inisiatif, RMK12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam; membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Fokus lain adalah memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun; mempercepat pertumbuhan hijau; dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

“Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang menjadi fokus pertama RMK12, Ismail berkata beberapa industri strategik dan berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik; perkhidmatan global; aeroangkasa; industri halal; kreatif; pelancongan; biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan manakala transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diperkasa.

Beliau berkata kerajaan telah meluluskan beberapa program dan projek utama bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik, antaranya dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry atau Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan ; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

Perdana menteri yakin dalam tempoh RMK12, Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus, pembinaan 4.2 peratus, pelancongan 3.8 peratus manakala PMKS menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada 2025.

Bagi merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar, beliau berkata Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia yang memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.