- Iklan -
Berita

Kementerian luar lantik penasihat khas mengenai Afghanistan

Ini diharapkan dapat membantu Wisma Putra memperoleh lebih maklumat mengenai Afghanistan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Taliban menguasai Kabul selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan. Gambar: Reuters
Taliban menguasai Kabul selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan. Gambar: Reuters

Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ahmad Azam Ab Rahman dilantik sebagai penasihat khas mengenai Afghanistan, Kementerian Luar.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata hubungan beliau yang rapat dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin Muslim di seluruh dunia, Azam dapat membantu mempermudah misi bantuan kemanusiaan NGO Malaysia ke Afghanistan.

Saifuddin berkata Azam, yang juga pengerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM), mempunyai pengalaman luas mengenai Afghanistan yang dapat membantu memberikan maklumat mengenai keadaan sebenar kepada beliau dan kementerian.

“Beliau juga dapat membantu Wisma Putra sebagai pemudah cara bantuan kemanusiaan NGO Malaysia. Ini penting supaya kami dapat lebih memahami sebarang perkembangan terbaharu. Memang Wisma Putra akan menggunakan pelbagai sumber lain, tapi pengalaman serta ramai kenalan yang beliau ada, membolehkan kita memperoleh maklumat tambahan penting.

“Dalam suasana tidak menentu, amat mustahak untuk kita berhubung dengan sumber-sumber yang kita sendiri cari dan sendiri tentukan. Ini antara kekuatan Ahmad Azam,” katanya.

Saifuddin mengumumkan pelantikan itu pada Persidangan KL mengenai Afghanistan: Re Emergence of a Nation, secara maya pada Ahad.

Acara ini anjuran bersama GPM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Beliau berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan politik di Afghanistan dan menggunakan penilaian sendiri untuk membantu membina semula negara terbabit.

Malaysia seharusnya tidak dipengaruhi dengan naratif Barat mengenai keadaan di Afghanistan.

“Kita perlu memperoleh maklumat sebenar sendiri mengenai apa yang berlaku di Afghanistan ketika ini, apa yang berlaku sebelum ini dan bagaimana kita mahu melihat ke hadapan,” katanya.

Kerajaan Malaysia berulang kali menegaskan bahawa rundingan damai, kebangkitan dan pembangunan semula Afghanistan seharusnya dipimpin, dikuasai dan dimiliki oleh rakyat negara itu sendiri.

“Saya percaya, rakyat Afghanistan adalah orang paling layak dan paling arif apa yang perlu dilakukan. Mereka arif mengenai sejarah, masalah dan cabaran mereka. Mereka juga tahu hakikat sebenar yang mereka hadapi dan tahu cara untuk melangkah ke hadapan.

“Sementara itu kita di Malaysia, ummah dan masyarakat dunia yang cintakan keamanan, mesti menyuarakan sokongan, solidariti dan cuba sebaik mungkin untuk memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan,” katanya.

Saifuddin berkata, meskipun Malaysia belum lagi mengiktiraf kerajaan baharu Kabul, ia komited untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan serta membantu pembinaan semula prasarana dan negara.

“Kami komited untuk terus memberikan bantuan terutama bantuan kemanusiaan ke Afghanistan,” katanya.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan PBB dan OIC serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Mercy Malaysia dan GPM, untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan di Afghanistan.

Malaysia katanya, sebelum ini sudah berikar memberikan US$100,000 kepada PBB untuk tujuan itu.

Saifuddin turut menggalakkan perniagaan Malaysia untuk meneroka peluang di Afghanistan dan difahamkan ada dua syarikat Malaysia sudah pun dipelawa untuk melakukan kerja-kerja awal membaik pulih dan penyelenggaraan di sana.

Beliau berkata, sebelum ini, Malaysia turut membantu dalam bidang pembangunan modal insan untuk rakyat Afghanstan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), menyaksikan 617 pegawai kerajaan dilatih dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, percukaian dan kewangan sejak 2002.

Pada persidangan hari ini, Tabung #PeduliAfghanistan GPM dilancarkan bertujuan mengumpul dana berjumlah RM1 juta untuk menyediakan makanan, tempat tinggal, sanitasi dan peralatan kebersihan kepada pelarian Afghanistan.