- Iklan -
Luar Sana

Pegawai pentadbiran Taliban hadiri forum damai di Norway

Lawatan itu berlaku di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Afghanistan berikutan perang selama 20 tahun dan kerana banyak negara telah menarik balik bantuan selepas arahan daripada Taliban yang menghalang ramai kakitangan wanita badan kemanusiaan di Afghanistan bekerja.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota Taliban berkawal di daerah Faizabad di wilayah Badakhshan pada 6 Jun. Gambar: AFP
Seorang anggota Taliban berkawal di daerah Faizabad di wilayah Badakhshan pada 6 Jun. Gambar: AFP

Pegawai dari pentadbiran Taliban, Afghanistan hadir ke Norway minggu ini untuk mengadakan pertemuan dengan masyarakat sivil dan diplomat di forum damai, kata menteri luar Norway semalam.

Lawatan itu berlaku di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Afghanistan berikutan perang selama 20 tahun dan kerana banyak negara telah menarik balik bantuan selepas arahan daripada Taliban yang menghalang ramai kakitangan wanita badan kemanusiaan di Afghanistan bekerja.

"Norway menjemput tiga individu daripada kakitangan awam yang bekerja bagi pihak berkuasa Afghanistan di Kabul ke Forum Oslo tahun ini. Mereka bertemu masyarakat sivil Afghanistan dan wakil dari negara lain untuk membincangkan situasi di negara itu," kata Menteri Luar Norway Anniken Huitfeldt kepada Reuters. 

Pertemuan dua hari berhampiran Oslo adalah sidang kemuncak tahunan mengenai konflik dan diplomasi keamanan yang berakhir Rabu. 

Pentadbiran Taliban tidak diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana kerajaan asing sejak mengambil alih negara itu pada 2021 selepas tentera asing berundur. 

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB ke Afghanistan Roza Otunbayeva menghadiri mesyuarat tertutup itu.

Walaupun beberapa pemimpin kanan Taliban biasanya dihalang daripada meninggalkan negara itu kerana larangan perjalanan PBB, pegawai lain boleh melakukan perjalanan atau menerima pengecualian untuk berbuat demikian dan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai di luar negara termasuk di Qatar, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu. 

Pada 2022, pemangku Menteri Luar Taliban Amir Khan Muttaqi menghadiri mesyuarat di Oslo.

"Mengasingkan Afghanistan sekarang adalah malang, baik untuk rakyat Afghanistan dan masyarakat antarabangsa. Ia boleh memburukkan lagi keadaan di Afghanistan, dan ia boleh membiarkan... kumpulan seperti ISKP mendapat tempat yang lebih kuat di negara ini. Ini juga akan menimbulkan risiko keselamatan untuk Eropah," kata Huitfeldt, merujuk kepada kumpulan Negara Islam. 

Reuters cuba mendapatkan komen daripada Jurucakap Kementerian Luar Negeri yang dikendalikan Taliban namun tidak berjaya.

Media tempatan, Afghan Tolo News melaporkan pegawai dari Kementerian Luar, Pertahanan dan Dalam Negeri telah pergi ke Norway.