- Iklan -
Berita

Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana, kata KPM

Murid di kawasan andar yang terlibat dengan PdPR berada di bawah 60% sementara di kawasan luar bandar sebanyak 52.4%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahmad Kamil Mohd Radhi, 10 bersama abangnya, Ahmad Soleh Mohd Radhi, 11 mengikuti Pengajian dan Pembelajaran di Rumah melalui telefon bimbitnya ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan kes Covid-19 masih tinggi di Kampung Melayu, Ampang.
Ahmad Kamil Mohd Radhi, 10 bersama abangnya, Ahmad Soleh Mohd Radhi, 11 mengikuti Pengajian dan Pembelajaran di Rumah melalui telefon bimbitnya ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan kes Covid-19 masih tinggi di Kampung Melayu, Ampang.

Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut kementerian pendidikan (KPM).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula rancangan pelajaran tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3% berbanding 51.4% murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2% guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1% guru di luar bandar.

“51.2% murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9% murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0% murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4% pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta menteri pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

Menurut kementerian itu 56.6% murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66% ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.

Sebanyak 1,053 pemerhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran nazir sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4% berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.