- Iklan -
Berita

Draf RUU anti-gangguan seksual digubal, dijangka dibentang tahun ini, kata menteri

KPWKM sedang menunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU tersebut dibentang kepada jemaah menteri dan bacaan kali pertama di Parlimen.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Draf RUU anti-gangguan seksual mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021 bagi memastikan ia mampu menangani kelompongan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.
Draf RUU anti-gangguan seksual mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021 bagi memastikan ia mampu menangani kelompongan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

Draf rang undang-undang (RUU) anti-gangguan seksual (RUU AGS) telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata pasukan khas tersebut terdiri daripada wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara tersebut.

“Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Prolintas, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Rina memaklumkan draf ini telah mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021, bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompongan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

“Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU anti-gangguan seksual ini tetap menjadi keutamaan kementerian dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.

“Pada masa ini, KPWKM sedang menunggu ‘white bill’ atau kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan jemaah menteri, dan kemudiannya dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen yang dijangkakan pada tahun ini juga”, katanya.

Menurut beliau KPWKM menyedari wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu ‘under-reporting’ kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Rina berkata walaupun RUU tersebut masih di dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan lain.

“Antara akta dan peraturan tersebut adalah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.

“Oleh itu, KPWKM menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan, untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa,” katanya.

Rina berkata kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga sedang melipatgandakan usaha meningkatkan kesedaran dan program-program advokasi, untuk mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual dan bentuk-bentuk lain.

Katanya sehingga Julai 2021 sebanyak 65 program kesedaran dan advokasi berkaitan gangguan seksual telah dilaksanakan oleh JPW pada tahun ini, dengan penglibatan seramai 10,952 peserta dari seluruh negara.