- Iklan -
Berita

Pemberontak tahan presiden, perintah berkurung diisytihar di Guinea

Pemimpin kudeta, Mamady Doumbouya turut mengumumkan pembubaran kerajaan serta memansuhkan perlembagaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera dilihat berkawal di istana presiden Conakry, Guinea pada Ahad lalu selepas kudeta ke atas kerajaan. Gambar: AP
Tentera dilihat berkawal di istana presiden Conakry, Guinea pada Ahad lalu selepas kudeta ke atas kerajaan. Gambar: AP

Pemberontak di Guinea mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara selepas mengumumkan berjaya menahan Presiden Alpha Condé, lapor Sputnik memetik media Perancis.

“Perintah berkurung seluruh negara akan dikenakan sehingga dimaklumkan kelak,” lapor harian Ouest-France pada Ahad.

Kumpulan pemberontak turut memaklumkan askar akan mengambil alih jawatan gabenor dan pengawai tempatan.

Kumpulan itu juga akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri Kabinet dan pegawai tinggi lain pada Isnin pagi, lapor Ouest-Perancis dan Le Figaro.

Pada Ahad, pihak berkuasa Guinea memaklumkan istana presiden telah diserang pemberontak dan presiden ditahan. Pemimpin kudeta, Mamady Doumbouya, turut mengumumkan pembubaran kerajaan serta memansuhkan Perlembagaan dan menutup sempadan.

Doumbouya berkata presiden dalam keadaan selamat dan tempat beliau ditahan dirahsiakan.

Presiden Alpha Conde memenangi penggal ketiga dalam pemilihan yang mencetuskan kontroversi tahun lalu, berikutan keputusannya untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan beliau menjadi presiden untuk penggal ketiga. Ia telah mencetuskan rusuhan walaupun perlembagaan diubah melalui referendum.

Penyokong tentera pemberontak turun ke jalan-jalan di ibu negara (Conakry) selepas rampasan kuasa, menurut media tempatan. Mereka melaungkan slogan memuji tentera.

Sementara itu, Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Keselamatan Josep Borrell mengecam rampasan kuasa itu dan meminta pemberontak membebaskan presiden.

Pemberontak berikrar untuk memastikan keselamatan penduduk tempatan, kata junta, yang kini dikenali National Rally and Development Committee (CNRD).

“Semua langkah akan diambil untuk memastikan keselamatan rakyat dan harta benda mereka,” menurut CNRD dalam satu kenyataan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.