- Iklan -
Luar Sana

Perintah berkurung susulan keganasan mengorbankan 22 nyawa di utara Honduras

Lelaki lengkap bersenjata melepaskan tembakan di dewan biliard di kawasan kejiranan di bandar pembuatan utara Choloma, kata polis.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Polis menyiasat rusuhan di Tamara, di pinggir Tegucigalpa, Honduras, 20 Jun. Gambar: Reuters
Polis menyiasat rusuhan di Tamara, di pinggir Tegucigalpa, Honduras, 20 Jun. Gambar: Reuters

Kerajaan Honduras mengumumkan perintah berkurung bermula semalam di dua bandar utara selepas 22 orang ditembak mati semalaman dalam serangan berasingan di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat di negara itu. 

Lelaki lengkap bersenjata melepaskan tembakan pada malam Sabtu di sebuah dewan biliard di kawasan kejiranan di bandar pembuatan utara Choloma, membunuh 11 orang dan mencederakan tiga lagi, kata pegawai akhbar polis Edgardo Barahona kepada Reuters. 

Sumber rasmi yang tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media memberitahu Reuters terdapat sekurang-kurangnya 11 pembunuhan lain pada Sabtu dalam insiden berasingan di seluruh zon Valle de Sula utara, termasuk di bandar perindustrian utama San Pedro Sulay. 

Presiden Xiomara Castro di Twitter mengumumkan perintah berkurung 15 hari di Choloma antara 9 malam dan 4 pagi, berkuat kuasa serta-merta, dan satu lagi di San Pedro Sula, berkuat kuasa 4 Julai.

"Pelbagai operasi, serbuan, tangkapan dan pusat pemeriksaan dimulakan," kata Castro. 

Castro berkata, kerajaan juga menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak AS$32,707 (kira-kira RM153,000) kepada orang yang membantu mengenal pasti dan menangkap mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan di Choloma. 

Terdapat keadaan separa darurat di beberapa bahagian Honduras sejak Disember dalam usaha untuk menghadapi kumpulan pengganas. 

Serangan pada hujung minggu itu susulan insiden awal minggu ini di penjara wanita berhampiran ibu negara Tegucigalpa yang mengorbankan 46 orang di tengah-tengah pencerobohan yang dilaporkan oleh ahli kumpulan kongsi gelap.