- Iklan -
Berita

Hampir 66% populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi Covid-19

47.2% populasi keseluruhan di Malaysia atau seramai 15,429,300 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Tangling memberikan suntikan vaksin dos ke dua  kepada penghuni Pusat Transit Gelendangan Kuala Lumpur di Anjung Kelana, Taman Desa.
Petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Tangling memberikan suntikan vaksin dos ke dua kepada penghuni Pusat Transit Gelendangan Kuala Lumpur di Anjung Kelana, Taman Desa.

Sebanyak 47.2% populasi keseluruhan di Malaysia atau seramai 15,429,300 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, seramai 20,115,233 individu atau 61.6% sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 35,519,754 dos.

Berdasarkan perkongsian maklumat itu juga, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 65.9% setakat semalam berbanding 65.1%, pada Rabu.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 369,280 dos diberikan, iaitu 187,645 merupakan dos kedua dan baki 181,635 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bertujuan melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.