- Iklan -
Berita

Bekas CEO 1MDB tidak pasti perlu kebenaran BNM pindah jumlah besar wang

Mohd Hazem berkata beliau tidak pasti sama ada 1MDB telah mendapatkan kelulusan BNM untuk memindahkan sejumlah besar wang kepada pelbagai entiti.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem. Gambar: Bernama
Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem. Gambar: Bernama

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pasti sama ada syarikat itu telah mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memindahkan sejumlah besar wang kepada pelbagai entiti.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama pembelaan Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Muhammad Shafee menyoal saksi pendakwaan ke-10 itu mengenai pinjaman AS$975 juta oleh 1MDB dari Deutsche Bank untuk tujuan membeli semula saham syarikat itu daripada seorang rakan pelaburannya.

Peguam itu berkata, sebahagian daripada pinjaman itu tidak digunakan untuk tujuan sebenar tetapi telah dipindahkan dalam dua bahagian (AS$223 juta dan AS$475 juta) iaitu dari 1MDB Energy Holdings Limited kepada syarikat Aabar Investment PJS Ltd (Seychelles) pada September 2014 dan kemudian kepada pelbagai entiti.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu bahawa kebenaran diperlukan untuk pemindahan sejumlah besar wang dari Malaysia?

Mohd Hazem: Saya setuju dari segi teknikal.

Muhammad Shafee: Adakah anda mendapat kebenaran BNM apabila memindah berjuta-juta wang daripada 1MDB kepada pelbagai entiti?

Mohd Hazem: Saya tidak pasti.

Muhammed Shafee: Adakah anda tahu bahawa adalah satu kesalahan jika anda tidak mendapat kebenaran BNM?

Mohd Hazem: Saya tidak tahu tetapi kemungkinan, ya.

Muhammad Shafee: Adakah pinjaman daripada Deutsche Bank untuk tujuan tertentu dan apabila tujuan itu tidak dipenuhi, adakah anda sedar bahawa anda telah melakukan pecah amanah (CBT) terhadap dana syarikat?

Mohd Hazem: Ya dari segi teknikal

Muhammad Shafee: Secara teknikalnya ia adalah CBT dan juga pengubahan wang haram.

Mohd Hazem: Ya.

Muhammad Shafee kemudian bertanya sama ada sesiapa telah menyiasat beliau di bawah CBT atau kesalahan pengubahan wang haram yang mana Mohd Hazem menjawab: Tidak.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sangat baik dengan anda,” kata peguam itu sambil menambah saksi itu patut dipenjarakan atas kesalahan CBT dan pengubahan wang haram dana tersebut.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 September ini.