- Iklan -
Berita

220 ahli Parlimen perlu kemuka calon PM dalam surat kepada Agong

Setiap ahli Parlimen perlu menyatakan dengan terang dan jelas seorang calon yang dipercayai mereka untuk menjadi perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Istana Negara mulakan pencarian perdana menteri ke-9 Malaysia hari ini. Gambar AP
Istana Negara mulakan pencarian perdana menteri ke-9 Malaysia hari ini. Gambar AP

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata setiap ahli Parlimen perlu menghantar nama calon perdana menteri pilihan mereka ke Istana Negara sebelum pukul 4.00 petang esok.

“Saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat (YB) supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh YB untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang ke-9.

“Surat akuan yang berhormat hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya pada rabu 18 Ogos sebelum jam 4 petang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Azhar turut memberikan garis panduan dengan beberapa butiran termasuk pengenalan diri, memberikan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai calon dan pengakuan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Menurutnya, surat akuan yang tidak mematuhi garis panduan yang diberikan dan lewat diterima tidak akan diambil kira.

Hari ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan memulakan pencarian perdana menteri baru yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia adalah susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semalam sekali gus menjadikan beliau sebagai perdana menteri sementara sebelum lantikan perdana menteri baru berlaku.

Azhar dalam kenyataan hari ini turut memperingatkan semua ahli Dewan Rakyat untuk menjaga kerahsiaan surat akuan yang diserahkan mereka kepada istana.

“Ahli-ahli YB diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Perutan Agong membuat keputusan.”