- Iklan -
Berita

Rumah sering dinaiki air, 3 beradik warga emas jalani kehidupan dalam rumah uzur

Mereka meminta pihak berkuasa membantu menguruskan longkang yang tersumbat bagi memudahkan air hujan mengalir.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Mohd Sali Mohd Sidek, Johari Mohd Sidek dan Rusnah Mohd Sidek, di rumah yang diwarisi daripada ibu dan ayah mereka.
Mohd Sali Mohd Sidek, Johari Mohd Sidek dan Rusnah Mohd Sidek, di rumah yang diwarisi daripada ibu dan ayah mereka.

Selama berpuluh tahun, tiga beradik itu sudah tinggal di rumah yang mirip rumah di kampung-kampung Melayu lama.

Lokasinya di pinggir bandar Kuala Lumpur sukar diteka jika dilihat dari susun atur perabot dan dapurnya yang klasik dan dipenuhi peralatan lama.

Rusnah Mohd Sidek, Mohd Sali Mohd Sidek dan Johari Mohd Sidek mewarisi rumah itu daripada ibu dan ayah mereka.

Mereka yang masing-masing berusia 70, 66, dan 59 tahun itu ialah sebahagian daripada enam adik-beradik.

Seorang sudah meninggal dunia manakala dua lagi menetap di Bandar Tun Razak.

Mohd Sali Mohd Sidek, OKU cerebral palsy bergerak dengan memegang kerusi roda di rumah, adiknya Johari akan membantu segala keperluan beliau dan kakaknya yang mengidapi penyakit kanser usus.

Namun rumah itu menghadapi masalah setiap kali hujan lebat.

Kedudukan rumah di kawasan rendah mengakibatkan air hujan yang turun dan mengalir dari kawasan lebih tinggi terkumpul di sekitarnya.

Ditambah pula dengan saliran longkang di depan rumahnya yang kerap tersumbat, kawasan dapur dan belakang rumah mereka akan dinaiki air.

Meskipun air yang naik ke rumah tidak terlalu tinggi, ia mendatangkan masalah buat mereka yang berstatus warga emas.

Seorang daripadanya, Mohd Sali merupakan orang kelainan upaya (OKU) manakala Rusnah pula menghadapi penyakit kanser usus dan limfoma.

“Rumah kami sudah dinaiki lebih 13 kali untuk tahun ini sahaja. Masa bulan puasa dan raya, beberapa kali juga air naik, kadang-kadang waktu sahur air masuk,” kata Rusnah kepada MalaysiaNow ketika ditemui di rumahnya.

Rusnah tidak tidur di dalam bilik di rumah itu, sebaliknya mempunyai katil yang disediakan di kawasan belakang rumah.

Mohd Sali menikmati makanan tengah harinya di Kampung Cheras Baru.

Katanya ia memudahkannya untuk ke tandas atau memasak di dapur.

“Tapi setiap kali air masuk ke dalam rumah, saya kena naik tangga untuk ke kawasan ruang tamu yang lebih tinggi. Tak larat setiap kali air masuk, kena naik tangga,” katanya.

Rusnah yang juga bekas pekerja kilang itu berkata, ada kalanya ketika hujan lebat, dia hanya mampu bertawakal dan meminta supaya air tidak naik ke paras katil, kerana tidak larat hendak bergerak ke ruang tamu.

Rusnah sebelum ini berulang-alik ke hospital untuk rawatan kanser dan limfoma di hospital di ibu kota namun sesi rawatan terhenti seketika akibat Covid-19.

Tambahan pula, Rusnah dan Johari menjaga Sali yang menghidapi Cerebral Palsi dan menghabiskan waktu di atas kerusi roda.

Perabot dan barangan mereka juga terpaksa diletakkan di atas kerusi atau meja sebagai alas untuk mengelakkan dari basah ketika air masuk.

“Ada beberapa kali saya tak mampu untuk keluarkan air dari rumah seorang diri, saya terpaksa hubungi polis dari balai polis untuk bantu saya.

“Mujur juga tiada perkakas elektrik seperti peti ais yang rosak sepanjang air masuk ini,” kata Johari.

Apabila masa terluang, Rosnah Mohd Sidek yang merupakan pesakit kanser usus menghabiskan masa dengan mengaji di Kampung Cheras Baru.

Dia membeli sebuah mesin pam air untuk membantunya mengeluarkan air banjir dari rumahnya.

Katanya, dia berhubung dengan pihak berkuasa tempatan namun tidak banyak yang dilakukan kecuali mengalihkan sampah dari longkang.

Ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang kerana longkang di depan rumahnya akan kembali tersumbat selepas beberapa ketika.

Katanya, faktor keselamatan juga menjadi kerisauan kerana beberapa kali terlihat ular dan lipan memasuki rumahnya ketika banjir.

Johari tidak lagi bekerja selepas kemalangan motosikal pada 2015.

Tiga beradik itu menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM500 sebulan.

Mereka juga dibantu jiran-jiran yang prihatin.

Mereka cuba mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan Sali mempunyai kad OKU sejak 2003 namun tidak pernah menerima maklum balas jabatan itu.

Dengan keadaan yang cukup makan, mereka hanya mampu mengulang rutin mereka setiap kali air naik, dan buntu mencari jalan penyelesaian.