- Iklan -
Berita

Sidang Khas ditangguhkan selepas Parlimen berisiko sebar Covid-19

Penangguhan sidang adalah selaras dengan cadangan ketua pengarah kesihatan selepas penilaian mendapati lokaliti Parlimen boleh menularkan jangkitan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan melakukan kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi di Dewan Rakyat selepas puluhan kes positif dikesan di kawasan itu. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan melakukan kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi di Dewan Rakyat selepas puluhan kes positif dikesan di kawasan itu. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan menyarankan agar Sidang Khas Dewan Rakyat yang seharusnya bersambung pada Isnin, ditangguhkan ke tarikh lain selepas kawasan Parlimen diletakkan sebagai lokaliti berisiko penularan jangkitan Covid-19.

Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, beliau diarahkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon untuk memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa dewan tidak bersidang pada 2 Ogos depan.

“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan ketua pengarah kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh kementerian kesihatan,” katanya dalam sebuah surat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pemakluman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sesi sidang khas pada Khamis lalu ditangguhkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mengeluarkan arahan supaya bangunan Parlimen dikuarantin susulan pengesanan kes Covid-19 di premis tersebut.

Kakitangan dan ahli-ahli Parlimen turut menjalani ujian saringan virus dan 11 individu telah didapati positif Covid-19.

Noor Hisham berkata pasukan kesihatan akan melaksanakan siasatan, penilaian risiko dan pengesanan kontak selain mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk menjalankan disinfeksi kawasan dan pembersihan di kawasan bangunan Parlimen.