- Iklan -
Berita

Label perniagaan ‘perlu’ dan ‘tidak perlu’ bukan cara melawan Covid-19, kata taikun pasar raya

Ameer Ali Mydeen berkata perniagaan harus dikategorikan mengikut risiko Covid-19, dan menambah banyak perniagaan diklasifikasikan sebagai 'tidak perlu' kini merudum akibat sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan ketika ini.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Kedai alat tulis dibenarkan untuk beroperasi semula di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Julai lalu.
Kedai alat tulis dibenarkan untuk beroperasi semula di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Julai lalu.

Pemilik rantaian pasar raya borong menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kriteria yang ditetapkan terhadap perniagaan ketika langkah penutupan perniagaan dimbil bagi mencegah penularan Covid-19, mengatakan perniagaan akan terus merudum jika sekatan seperti ketika ini berterusan.

Ameer Ali Mydeen, pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, berkata pendekatan menutup perniagaan bagi membendung jangkitan Covid-19 harus dipinda.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mencadangkan supaya strategi klasifikasi perniagaan dan penyedia perkhidmatan dengan label “perlu” dan “tidak perlu” perlu ditukar dan menambah perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan ketika ini lebih dilihat seperti “perintah kawalan pembelian”.

“Sebagai pemilik perniagaan, kami faham kepentingan untuk kita hentikan penyebaran Covid-19, kerajaan harus gunakan sekatan pergerakan sebagai mekanisme,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kami memahami mekanisme ini dan kami setuju bahawa ia mesti dilakukan. Tetapi apa yang kita lihat ketika ini seperti ‘perintah kawalan pembelian’ di mana orang tidak dapat membeli barang yang mereka perlukan hanya kerana tidak dianggap ‘perlu’ oleh kerajaan.”

Memetik pengumuman kerajaan baru-baru ini kedai alat tulis diizinkan beroperasi semula, beliau mempersoalkan proses membuat keputusan tersebut berhubung senarai perkhidmatan perlu, mengatakan banyak perniagaan lain yang pada awalnya ditutup harus dianggap penting juga.

“Kerajaan tidak boleh buat senarai perlu dan tidak perlu kerana semuanya penting bagi seseorang,” katanya.

“Ini bukan cara untuk membuat keputusan kerana ia seperti keputusan tergesa-gesa,” tambahnya. “Ia tidak masuk akal.”

Ameer Ali Mydeen.

Ameer mencadangkan agar kerajaan mengkategorikan perniagaan dan penyedia perkhidmatan yang boleh menyebabkan penyebaran Covid-19 meningkat dalam “senarai negatif”, mengatakan keputusan mengenai perniagaan yang boleh dibenarkan beroperasi harus berdasarkan risiko Covid-19.

“Sebagai contoh, senarai negatif boleh memasukkan perniagaan yang boleh menarik orang ramai ke ruang sempit,” katanya.

“Sekiranya anda tutup perniagaan seperti cuci kereta kerana tidak perlu, apa kaitannya dengan Covid-19? Anda tidak boleh mengatakan bahawa mencuci kereta tidak penting kerana bagi orang yang mengendalikan perniagaan mencuci kereta, ia sangat penting. ”

Ameer turut berkata sekatan pergerakan penuh ketika ini sangat menjejaskan orang ramai dan perniagaan kerana mereka tidak lagi dapat bertahan seperti yang dihadapi sewaktu perintah kawalan pergerakan yang pertama (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu kerana sumber makin berkurangan.

“Orang ramai mematuhi peraturan semasa PKP pertama kerana mereka takut dan mereka masih mempunyai wang,” katanya.

“Walaupun perniagaan seperti Mydin tidak terjejas teruk, kami pun turut terjejas,” tambahnya.

“Jualan makanan dan keperluan asas kami turun lebih dari 20%. Ini bermakna orang sekarang tidak ada wang untuk beli barang keperluan.

“Ini sangat berbahaya bagi industri dan rakyat.”