- Iklan -
Berita

Ulang tahun keputeraan Agong ditangguh lagi, cuti umum kekal

Tahun lalu, semua acara keputeraan Sultan Abdullah turut ditangguhkan ekoran lonjakan jangkitan Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AP
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AP

Istana Negara hari ini mengumumkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bulan depan ditangguhkan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung peningkatan ketara jumlah kes jangkitan harian Covid-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin penangguhan tersebut diputuskan selepas perkenan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Walaubagaimanapun, menurut Ahmad Fadil, cuti umum pada 7 Jun depan tetap diisytiharkan sebagai hari kepelasan am atau cuti umum sempena sambutan ulang tahun Sultan Abdullah.

“Mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak Covid-19,” kata kenyataan Istana Negara, mengatakan sebarang acara akan ditangguhkan kepada satu tarikh yang bakal diumumkan.

Ini merupakan kali kedua semua acara sempena ulang tahun keputeraan Agong ditangguhkan.

Tahun lalu, semua acara keputeraan Sultan Abdullah turut ditangguhkan ekoran lonjakan jangkitan Covid-19.

Sultan Abdullah baru-baru ini menasihatkan kerajaan negeri Sarawak untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun tempoh kerajaan akan tamat pada Jun.

Agong turut menasihatkan kerajaan negeri untuk menjalankan pentadbiran seperti biasa.

Peningkatan kes secara mendadak dalam negera menyebabkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara awal bulan ini.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan kes baru Covid-19 tertinggi sebanyak 7,857 menjadikan kes keseluruhan dalam negara meningkat sebanyak 541,224.