- Iklan -
Berita

Kementerian kesihatan pertimbang PKP dengan SOP lebih ketat di Selangor

Langkah itu mungkin diambil jika kes jangkitan terus meningkat di Selangor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di Selangor atau mengadakan skala penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri itu jika rekod jangkitan Covid-19 kekal meningkat.

“Saya setuju bahawa kita perlu cadangkan kepada kerajaan supaya ketatkan SOP dan PKP melihatkan ketidakupayaan untuk mengekang jangkitan, jadi cadangan untuk kita laksanakan ‘full’ PKP boleh dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini.

PKP yang dilaksanakan ketika ini berkuatkuasa di hampir keseluruhan daerah di Selangot bermula awal bulan ini, ia kemudian diperluaskan di seluruh negara pada 12 Mei kecuali Sarawak yang kekal berstatus PKP bersyarat (PKPB).

Di bawah pelaksanaan PKP 3.0 kali ini, SOP diperketatkan dengan pelaksanaan larangan rentas daerah dan negeri.

SOP ketat itu kekal sehingga 7 Jun depan.

Semalam, Selangot merekodkan 1,275 kes baru dari kes jangkitan baru keseluruhan dalam negara sebanyak 3,780.

Sementara negara mencatat 36 kematian dengan enam korban adalah dari Selangor.