- Iklan -
Berita

Penduduk Kampung Sungai Chinchin gusar nasib rumah ketika pembinaan ECRL semakin agresif

Penduduk Kampung Sungai Chinchin berkata mereka tidak menerima sebarang penjelasan daripada pihak berkuasa negeri berhubung perkara itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar udara Taman Rawiyah Sulaiman, di mana ia akan terbahagi kepada dua dan ini akan menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.
Gambar udara Taman Rawiyah Sulaiman, di mana ia akan terbahagi kepada dua dan ini akan menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.

Penduduk Kampung Sungai Chinchin, Gombak berdepan risiko pengusiran dan gangguan apabila kerja-kerja Laluan Kereta api Pantai Timur (ECRL) bermula dengan agresif di kawasan itu, enam tahun selepas pengumuman projek berkenaan pada 2017.

Beberapa penduduk yang ditemui meluahkan rasa gusar dengan keadaan itu kerana tiada penjelasan tuntas diberikan, walaupun pihak penilai sudah mula melakukan kerja-kerja mereka.

Seorang penduduk, Muhammad Hakiim Atan berkata, mereka terkejut apabila melibat kerja-kerja pembinaan sudah bermula.

"Tiada apa-apa maklumat (diberikan) kepada penduduk.

“Tiba-tiba rumah sudah ditanda dan tiang sudah mula dipacak. Permit pun tiada," katanya kepada MalaysiaNow.

Dia menyeru pihak berkuasa untuk ambil tahu hal kebajikan penduduk di situ.

Cakap-cakap yang berlegar ialah penduduk akan diberikan notis pindah.

"Saya harap mereka dapat tukar laluan. Kami dah duduk lama tiba-tiba suruh pindah," katanya.

Projek ECRL sepanjang lebih 600 kilometer yang diumumkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu mencetuskan kontroversi yang sama di Klang, apabila penduduk di Taman Sungai Sireh melaporkan kontraktor China telah menanda beberapa rumah untuk dirobohkan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan situasi sama turut didepani penduduk di penduduk Desa Mukmin Warisan Batu 7 dan Taman Rawiyah Sulaiman, yang mana mereka turut berdepan dengan pencerobohan kontraktor dan pekerja pembinaan.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Iskandar berkata, kawasan yang terkesan dengan pembinaan ECRL itu meliputi laluan keluar masuk penduduk.

"Mereka kata ia untuk pembinaan tiang dan tidak memberi kesan kepada rumah penduduk.

“Tetapi mereka tidak pernah beritahu penduduk pun mengenai apa yang hendak dibuat. Mana etika kerja?" katanya.

Katanya, jentera-jentera besar yang terlibat dengan pemasangan ceracak telah diletakkan di kawasan yang kecil.

Kawasan itu juga mempunyai tadika yang mana kerja-kerja pembinaan berisiko membahayakan kanak-kanak.

"Kalau kita lihat peta Gombak, ada laluan lain untuk projek itu. Kenapa mahu lalu kawasan orang kampung?

"Kami pilih kerajaan tetapi mereka buat kita begini," keluhnya.

Menurut lelaki itu, kerja-kerja memasak ceracak mengakibatkan gegaran sekali gus kerosakan jalan di kawasan tersebut.

Iskandar berharap agar ada penjelasan tuntas daripada pihak berkuasa kerana kehidupan seharian penduduk terjejas akibat kehadiran jentera dan kerja-kerja pembinaan.

Guru tadika tersebut, Jamaah Md Nor memaklumkan pihaknya difahamkan tadika itu sebelum ini tidak terlibat dengan pembinaan ECRL.

"Tetapi ada penilai datang dan kata tadika ini terlibat, termasuk beberapa rumah berhampiran.

"Kami belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), rasanya Kemas pun tak tahu (mengenai isu ini)," katanya.