- Iklan -
Berita

Buka restoran sampai pagi tarik budaya lepak sekali lagi?

Pekerja di restoran yang dibuka hingga awal pagi mengakui ramai pelanggan yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Budaya lepak di kedai mamak dilihat sekali lagi berlaku selepas kelonggaran kedai dibuka sehingga pagi sempena Ramadan.
Budaya lepak di kedai mamak dilihat sekali lagi berlaku selepas kelonggaran kedai dibuka sehingga pagi sempena Ramadan.

Ketika detikan jam menghampiri tengah malam, jalan-jalan di Setiawangsa, Kuala Lumpur satu persatu menjadi sunyi.

Beberapa pejalan kaki mulai bergegas pulang, dan lampu di bangunan ditutup.

Namun, di satu lokasi komersial, kenderaan memenuhi kawasan parkir, kerumunan orang ramai, kebisingan dan keriuhan masih berterusan.

Dilihat cuai dan tidak mempedulikan waktu yang sudah menjangkau tengah malam, kira-kira 50 orang pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia, sedang menikmati makanan lewat malam di sebuah restoran mamak.

Satu kumpulan bermain permainan dalam talian, sementara satu lagi kumpulan sedang menikmati shisya dan vape.

Tawa dan perbualan mereka berlaga dengan bunyian bising dari dapur sambil pelayan sibuk mengambil pesanan.

Mereka memenuhi meja tanpa penjarakan antara satu sama lain, tingkah laku yang tidak sepatutnya dilakukan ketika ibu negara merekodkan ratusan kes Covid-19 setiap hari, sementara kes harian negara yang turut meningkat sehingga 3,000 kes untuk beberapa hari.

Seorang kakitangan di sebuah restoran di daerah itu yang tidak mahu disebutkan namanya berkata bahawa keadaan orang ramai seperti itu sudah biasa dilihat setiap malam sejak Ramadan bermula.

“Mereka datang sebelum tengah malam dan ‘lepak’,” katanya, menggunakan perkataan Melayu yang biasa digunakan bagi menggambarkan aktiviti berpeleseran.

“Kadang-kadang mereka menggabungkan meja. Jumlah mereka akan berkurang pada pukul 2 pagi ketika kami nak tutup restoran.”

Adegan serupa dapat dilihat di Wangsa Maju di mana pelanggan duduk dalam kumpulan besar, terdiri lebih dari 10 orang, bahkan melewati lebih dari pukul 2 pagi.

Tinjauan lokasi oleh MalaysiaNow mendapati bahawa tidak ada seorang pun daripada mereka yang mengamalkan penjarakan fizikal minimum satu meter.

Seorang pekerja restoran yang juga tidak mahu disebutkan nama berkata mereka berusaha untuk tidak mengganggu pelanggan mereka walaupun terdapat pelanggaran SOP yang jelas.

“Ini bulan puasa, dan kami tidak mahu menimbulkan rasa tidak senang bagi pelanggan,” katanya.

Dia menambah bahawa semua tingkah laku pengunjung dapat dilihat di CCTV.

Justeru, katanya, pihak pengurusan “pasti tahu mengenai perkara ini”.

“Tetapi kami tidak diberitahu apa-apa berhubung perkara tersebut,” katanya.

Percubaan MalaysiaNow untuk menghubungi pemilik restoran dan persatuan perniagaan itu bagaimanapun tidak berjaya.

Jangkitan Covid-19 melonjak di banyak tempat di negara ini, mencetuskan kebimbangan jumlahnya akan mencapai 4,000 sehari, satu angka yang direkodkan pada bulan Februari, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Mohd Yusof Abdul Rahman, timbalan presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia, berkata bahawa ini adalah keadaan yang berlaku di beberapa restoran mamak dan restoran lain di negeri-negeri yang berada dalam keadaan status PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP).

Katanya, restoran-restoran itu diberi lampu hijau pada 12 April untuk terus dibuka sehingga 6 pagi pada bulan Ramadan.

“Melepak memang berlaku di beberapa restoran pada bulan Ramadan,” katanya.

“Pelanggan yang melepak memerlukan lebih dari satu jam duduk di restoran, bukan untuk makan tetapi untuk berbual dengan rakan.”

Yusof menyarankan agar pengurusan restoran menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengingatkan pelanggan dengan sopan untuk menjaga penjarakan fizikal, atau memasang poster yang memberi tahu pelanggan tentang had waktu untuk duduk di premis.

Beliau turut berkata persoalan sama ada untuk terus membenarkan pelanggan makan di premis atau tidak adalah dilema bagi kerajaan ketika ini.

“Kita pernah jalani larangan makan di restoran dalam PKP sebelum ini.

“Tetapi restoran pasti akan tidak senang hati jika larangan ini dikenakan sekarang, kerana mereka akan kehilangan pelanggan.”

Yusof berkata, perkata ini menjadi tanggungjawab orang ramai bagi memastikan setiap anggota masyarakat mematuhi SOP.

Orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak mengambil hati atau kecewa sekiranya mereka diingatkan oleh pekerja restoran tentang pematuhan SOP.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr M Subramaniam mendesak pegawai penguatkuasa untuk melakukan pemeriksaan lokasi secara berkala bagi memastikan restoran mematuhi SOP.

“SOP penjarakan fizikal satu meter mesti dipatuhi dengan ketat kerana orang ramai boleh terdedah kepada risiko jangkitan ketika pelitup wajah mereka dibuka ketika makan.

“Waktu makan juga perlu dihadkan kerana terdapat kekurangan penguatkuasaan di restoran pada waktu tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow.

Beliau turut berkata bahawa restoran juga boleh mempromosi makanan bungkus untuk membantu menurunkan risiko jangkitan Covid-19 dengan menawarkan harga yang lebih rendah daripada makan di premis.

“Orang harus digalakkan makan di luar, terutama sekarang ketika kes Covid-19 berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya.