- Iklan -
Berita

Kapasiti katil pesakit Covid-19 penuh di hospital swasta

Hospital swasta tidak lagi memiliki kapasiti untuk menerima pesakit Covid-19 terutama di Lembah Kelang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Hospital swasta turut membantu menguruskan pesakit Covid-19 sejak Januari lalu.
Hospital swasta turut membantu menguruskan pesakit Covid-19 sejak Januari lalu.

Hospital-hospital swasta di Malaysia tidak lagi memiliki kapasiti ruang untuk menerima pesakit Covid-19 susulan peningkatan kes jangkitan kebelakangan ini.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, President Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, katil untuk kegunaan pesakit Covid-19 dan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital swasta sudah penuh sehingga mencecah kapasiti maksimum ketika ini.

Susulan itu, katanya, kebanyakan hospital swasta tidak lagi mampu menerima pesakit-pesakit Covid-19, terutamanya di Lembah Kelang.

Hospital swasta menerima pesakit Covid-19 sejak Januari lalu selepas kerajaan mengarahkan premis dari sektor swasta turut terlibat dalam membantu pengurusan pandemik.

Mereka turut membantu kerajaan dalam pengurusan krisis dengan melaksanakan pemeriksaan, menyediakan alat bantuan pernafasan kepada hospital kerajaan selain menawarkan sesi dialisis dan vaksinasi di premis mereka.

“Kami menyediakan katil-katil, dan kepakaran berdasarkan kapasiti dan kemampuan hospital dan beberapa ribu pesakit dirawat di premis-premis swasta ini,” kata Kuljit.

Bagaimanapun, katanya hospital swasta ketika ini berdepan dengan masalah kekurangan katil dan fasiliti ICU bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19 selain kekurangan pakar dan jururawat.

“Keutamaan ketika ini adalah untuk merawat pesakit dengan cara terbaik dan sentiasa mengutamakan keselamatan dan hasil rawatan.

“Kami memahami fasiliti kerajaan di Lembah Kelang dan mungkin juga di Johor menerima peningkatan pesakit susulan peningkatan jumlah jangkitan” katanya.

“Namun kebimbangan terbesar kami adalah sekiranya terpaksa berdepan penutupan pusat rawatan kerana kekurangan katil dan rawatan oksigen kepada orang ramai.”

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengalihkan pesakit-pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta sebagai langkah segera bagi mewujudkan ruang kepada pesakit Covid-19 di hospital kerajaan dengan kos yang dipersetujui tahun lalu dan didanai sepenuhnya oleh kerajaan.