- Iklan -
Berita

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis

Difahamkan, Fahmi ditahan kerana memuat naik satu grafik Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial miliknya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza. Gambar: Facebook
Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza. Gambar: Facebook

Aktivis dan pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zain ditahan polis dari Bukit Aman di kediamannya di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan penahanan Fahmi kepada MalaysiaNow.

Zainal berkata, setakat ini Fahmi ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tetapi siasatan dijalankan oleh pegawai dari Bukit Aman.

Difahamkan, Fahmi ditahan kerana memuat naik satu grafik Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial miliknya.

Grafik tersebut memapar wajah Tunku Azizah berserta kapsyen “This is Dengki Ke”, merujuk kepada komen Permaisuri Agong di laman instagram.

Semalam Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas di Kelantan berhubung posting Fahmi itu.

Fadhli menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pereka grafik tersebut.