- Iklan -
Berita

‘Lebih baik mati’: Perjalanan sukar pesakit HIV dari pedalaman untuk rawatan

Setiap dua bulan, Ryan dan neneknya melakukan perjalanan selama empat jam dari rumah mereka di Lubok Antu ke Kuching.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Salah satu jalan di pedalaman Sarawak, bagi mereka yang tinggal di pedalaman, inilah jalan untuk sampai ke kawasan bandar.
Salah satu jalan di pedalaman Sarawak, bagi mereka yang tinggal di pedalaman, inilah jalan untuk sampai ke kawasan bandar.

Setiap dua bulan, Ryan dan neneknya akan bersiap untuk melakukan perjalanan empat jam yang melelahkan dari rumah mereka di Lubok Antu, sebuah daerah luar bandar Sri Aman, Sarawak, menuju ke ibu kota Kuching.

Ia merupakan perjalanan panjang dan melelahkan bagi seorang kanak-kanak berusia 13 tahun.

Namun, perjalanan Ryan ke hospital di bandar itu mesti dilakukan demi rawatan penyakitnya.

Ryan dilahirkan dengan jangkitan virus imunodefisiensi manusia atau HIV.

Penyakit itu menjadikan hidup penghidapnya sukar.

Bahkan ia semakin sukar akibat wabak Covid-19 melanda negeri ini.

Di Sarawak, pandemik Covid-19 membunuh 145 orang setakat ini dengan lebih daripada 25,000 jangkitan dicatatkan sejak virus itu pertama kali dikesan tahun lalu.

Sepanjang minggu lalu, Sarawak kekal menjadi antara negeri yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi.

Ia mencatat 960 kes pada 16 April lalu, sebuah angka kes harian tertinggi pernah dicatatkan negeri itu.

Dengan penumpuan pada virus tersebut dan pelbagai usaha dijalankan bagi membendung penularannya, golongan pesakit seperti Ryan adalah mereka yang berisiko tinggi jika dijangkiti dan turut menjadi mangsa keadaan.

Sejak kecil Ryan mendapat rawatan bagi penyakitnya di sebuah hospital di Bintulu kerana ibunya bekerja di bandar itu.

Namun, dia kehilangan kedua ibu bapa pada usia tujuh tahun.

Setelah kematian mereka, Ryan tinggal bersama neneknya, Mary, di Lubok Antu.

Ketika ini, perkara paling mustahak bagi Ryan adalah bagaimana untuk meneruskan rawatannya.

“Ryan berada di bawah jagaan saya sejak ibu bapanya meninggal dunia,” kata Mary kepada MalaysiaNow.

“Setelah kematian mereka, kesnya dirujuk ke Kuching.

“Secara asasnya, dia perlu jumpa doktor setiap dua bulan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.”

Bagaimanapun, untuk mendapatkan rawatan ini, wang sentiasa menjadi hambatan kepada mereka.

Walaupun kos rawatan di hospital kerajaan adalah percuma, namun kos-kos lain meningkat, terutamanya kos pengangkutan.

Rawatan di hospital yang terletak di Kuching memaksa Ryan dan neneknya menempuh perjalanan empat jam melalui darat.

“Kami tidak miliki pengangkutan. Kami bergantung dengan pengangkutan awam seperti bas dan ‘van sapu’,” kata Mary, merujuk pada kenderaan pengangkutan haram atau tidak berlesen.

Sekiranya mereka menaiki bas, mereka perlu ke Sri Aman terlebih dahulu untuk membeli tiket.

Bas akan berhenti di Kuching Central, lokasi yang masih jauh dari hospital.

Untuk sampai ke hospital, mereka mesti menaiki bas lain.

Kadang-kadang, mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab – namun itu hanya boleh dilakukan jika mereka mempunyai lebihan wang hari itu.

“Anda tak boleh akses penjagaan kesihatan secara percuma,” kata Mary.

“Walaupun orang kata sektor kesihatan awam adalah percuma, namun untuk pergi ke tempat besar, perlukan wang ringgit.”

“Sejak Covid melanda, ia menyusahkan kami, kosnya makin tinggi.”

Cerita seperti itu tidak asing bagi pesakit HIV yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Seorang aktivis dari Persatuan Prihatin AIDS Sarawak, Dr Yuwana Podin berkata ramai pesakit HIV tidak dapat menjalani rawatan kerana doktor dan pakar perubatan terpaksa dikerahkan bagi usaha melawan pandemik .

Situasi ini diburukkan lagi dengan kekurangan kemudaPersatuan Prihatin AIDS Sarawakhan sekali gus menaikkan kos kemudahan penjagaan kesihatan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu turut menyulitkan pesakit seperti Ryan, yang terpaksa melalui sekatan jalan raya dan sekatan polis untuk sampai ke hospital.

Mereka juga terpaksa memohon kebenaran keluar daerah lebih awal, satu hal yang menyulitkan buat yang tinggal di pedalaman.

“Pemeriksaan kesihatan mereka mungkin juga terpaksa ditangguhkan kerana Covid-19,” kata Yuwana.

“Sama ada sementara atau tidak, menghentikan rawatan boleh menyebabkan virus itu kembali aktif, menjadikannya lebih sukar untuk dikendalikan.

“Penting bagi pesakit (HIV) jalani rawatan susulan, pemeriksaan dan memakan ubat secara berkala demi mengekang virus HIV dan memastikan sistem imuniti tubuh mereka tetap kuat.”

Beliau juga menggesa semua pesakit HIV untuk mendaftar vaksinasi sambil mengatakan virus Covid-19 “tak akan beri peluang (jika ia menjangkiti)” mereka.

Bagaimanapun, bagi Ryan untuk tetap kuat adalah satu perkara yang sangat sukar.

Walaupun masih muda, dia terpaksa bertahan dengan pelbagai ujian lebih-lebih lagi ketika Covid-19 menyerang negara ini.

“Ryan sering beritahu saya, lebih baik dia mati,” kata Mary.