- Iklan -
Berita

Hakim ‘terdorong’ untuk putuskan Najib bersalah dalam kes SRC, kata peguam

Peguam Najib berkata, undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan kerana sudahpun dipertanggungjawabkan pada pilihan raya umum yang lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu hakim dalam perbicaraan kes Najib Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bagaikan “terdorong” untuk memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah.

Peguam beliau Farhan Read berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kelihatan seolah-olah ada keinginan untuk memutuskan tertuduh bertanggungjawab. Hakim (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) terdorong untuk memutuskan tertuduh bersalah,” katanya.

Farhan berkata undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan kerana tertuduh sudahpun dipertanggungjawabkan pada pilihan raya umum yang lepas.

Kata peguam itu lagi dapatan hakim perbicaraan bagi memerintahkan ahli Parlimen Pekan tersebut membela diri juga sangat prejudis.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Pendengaran bersambung.