- Iklan -
Berita

Perwakilan Umno sokong usul ‘tarik diri dari PN’, tetapi tidak terus tinggalkan kerajaan

Setakat ini, Umno masih lagi menjadi sebahagian dari PN walau perhimpunan agungnya menyerang kerajaan yang diketuai bekas pemimpinnya, Muhyiddin Yassin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kuala Lumpur, 27 March 2021-  Presiden Umno, Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Kuala Lumpur, 27 March 2021- Presiden Umno, Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perhimpunan Agung Umno berakhir hari ini dengan sebulat suara menyokong usul untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus menggesa peletakan jawatan menteri, dan timbalan menteri Umno yang dilantik.

Dalam ucapan penggulungan yang ringkas bagi menutup tirai Perhimpunan Agung Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan usul untuk memutuskan hubungan dengan PN diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.

Beliau menamatkan ucapan 10 minit tersebut dengan memohon seluruh perwakilan untuk bangun di dalam dewan jika mereka bersetuju dengan usul tersebut.

Beliau berkata kepimpinan Umno kini memiliki mandat untuk tarik diri daripada PN pada bila-bila masa.

“Perwakilan sudah memberi mandat kepada presiden dan majlis tertinggi untuk menentukan diri bahawa kita boleh menarik diri daripada kerajaan PN bila-bila masa, jika mereka tidak ada indikasi untuku pilihan pada waktu terdekat,” kata Zahid.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga turut dilaporkan memberi isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan selepas perintah darurat ditamatkan mengikut situasi pandemik Covid-19.

Zahid turut mengingatkan bahawa jika kerajaan PN telah memutuskan untuk mentadbir negara sehingga habis penggal, kesemua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam GLC harus meletak jawatan segera.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno harus teguh pendirian jika memutuskan untuk keluar daripada kerajaan.

“Bulan lapan tak ada apa benda, kita keluar kerajaan ramai-ramai,” tegasnya.