- Iklan -
Berita

Pemilik, syarikat insurans kapal tersangkut di Suez berdepan tuntutan jutaan dolar

Puluhan kapal lain turut tersangkut di bahagian masuk dan keluar terusan tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kapal Ever Given tersangkut di Terusan Suez, Mesir. Gambar: AP
Kapal Ever Given tersangkut di Terusan Suez, Mesir. Gambar: AP

Pemilik dan syarikat insurans bagi beberapa buah kapal kargo yang tersekat di Terusan Suez berdepan tuntutan bernilai jutaan dolar walaupun kapal-kapal tersebut dapat berlepas semula dalam masa terdekat, kata beberapa sumber pada Rabu.

Kapal Ever Given berukuran 400 meter dengan muatan seberat 224,000 tan tersangkut pada Selasa selepas hilang kawalan sewaktu angin ribut melanda kawasan itu, kata Suez Canal Authority (SCA) dalam sebuah kenyataan.

Kapal yang tersangkut itu bakal mengganggu industri perkapalan dunia untuk beberapa hari selepas puluhan kapal turut tidak dapat meneruskan perjalanan di laluan masuk dan keluar terusan tersebut.

Syarikat perkhidmatan marin berpangkalan di Dubai, GAC berkata pihak berkuasa masih lagi berusaha untuk menarik kapal tersebut pada Rabu.

Pemilik kapal itu adalah sebuah firma Jepun Shoei Kisen KK. Syarikat insurans yang mewakilinya dijangka berdepan beberapa tuntutan dari SCA akibat hilang pendapatan daripada kapal-kapal lain yang turut tersekat di terusan tersebut.

Kebiasaannya, kapal-kapal kontena sedemikian memiliki insurans bagi kerosakan mesin atau binaan bahagian bawah enjin bernilai AS$100-140 juta, kata beberapa syarikat insurans kepada Reuters.

“Ini barangkali adalah satu tragedi terbesar bagi sebuah kapal kargo tanpa ada perlanggaran,” kata seorang peguam perkapalan.

Jurucakap syarikat perkhidmatan marin Belanda, Boskalis, Martijn Schuttevaer memberitahu Reuters bahawa anak syarikatnya, Smit Salvage telah dipanggil untuk membantu operasi menarik kapal tersebut.

Sementara itu, pemilik-pemilik kargo yang dibawa kapal tersebut dan beberapa kapal yang tersekat mungkin membuat tuntutan kepada syarikat insurans kapal kerana kerugian dan kerosakan selain terlewat penghantaran, kata beberapa sumber.

“Bila ada kapal-kapal tersangkut, akan timbul isu rantaian bekalan,” kata Marcus Baker yang merupakan ketua jabatan marin dan kargo di syarikat insurans Marsh.