- Iklan -
Berita

PAS, Bersatu rasmikan jawatankuasa PN Terengganu

PN Terengganu akan terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin berjalan bersama. Bersatu dan PAS semakin erat menjalin kerjasama di peringkat negeri.
Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin berjalan bersama. Bersatu dan PAS semakin erat menjalin kerjasama di peringkat negeri.

Perikatan Nasional (PN) Terengganu telah membentuk jawatankuasa baharu secara rasmi yang terdiri daripada kepemimpinan PAS dan Bersatu negeri itu, malam tadi.

Ketua Penerangan PN Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta dibantu oleh Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Husain Awang, masing-masing sebagai naib pengerusi.

“Alhamdulillah, PN Terengganu telah dapat dibentuk secara rasmi dengan jawatankuasa yang lengkap. Mesyuarat malam tadi dihadiri oleh semua 24 ahli jawatankuasa PN negeri kecuali bendahari iaitu ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid yang kini berada di Sabah.

“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen di semua bahagian kecuali di Besut.

“Diharapkan PN Terengganu akan terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil mesyuarat PN Terengganu kali pertama itu juga bersetuju untuk menjemput Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu bagi menyertai gabungan politik itu dalam berdepan PRU15 akan datang.

Mengenai status kerjasama PAS dan Umno pula, Wan Sukairi berkata ia masih diteruskan melalui Muafakat Nasional.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.