Peminat dibenar tonton kejohanan sukan April depan
MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia.
Terkini
Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan prosedur operasi standard (SOP) daripada kementerian belia dan sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko kementerian kesihatan (KKM).
Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25% kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
“Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS,” katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.
Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia akan dijadikan percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.