- Iklan -
Berita

Bilakah usia matang berkahwin? Persoalan yang banyak jawapan

Segelintir pihak berkuasa agama tidak memandang perkahwinan kanak-kanak sebagai satu perkara yang sensitif atau wajar dibincangkan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Perkahwinan kanak-kanak masih wujud dan diterima oleh pelbagai budaya dan agama di rantau Asia. Gambar: AP
Perkahwinan kanak-kanak masih wujud dan diterima oleh pelbagai budaya dan agama di rantau Asia. Gambar: AP

Pada umur berapakah seseorang itu – terutamanya gadis sesuai untuk berkahwin?

Nampaknya, budaya mainkan peranan mengenai persoalan ini.

Di Malaysia, wacana perkahwinan kanak-kanak sering terbatas dalam kalangan masyarakat Islam luar bandar kerana media sering melaporkan kes gadis bawah umur berkahwin dengan lelaki tua bangka. Rata-rata beranggapan ia adalah amalan kuno yang kini dianggap salah.

Walaupun memang betul perkahwinan bawah umur berlaku dalam komuniti Muslim, ia juga menjadi masalah bagi setiap etnik dan agama di Malaysia, demikian kata Sarah Norton-Staal yang merupakan ketua Perlindungan Kanak-kanak Unicef di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sebuah taklimat Unicef secara maya bertajuk “Towards Ending Child Marriage.”

Statistik Unicef menunjukkan antara tahun 2013 dan 2017, terdapat 2,367 kes perkahwinan kanak-kanak bukan Islam direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Perkahwinan kanak-kanak bawah umur berlaku di kawasan bandar dan luar bandar, di semua negeri di Malaysia dan dalam semua etnik dan agama,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan terkena tempias perkahwinan di bawah umur, namun kesannya lebih besar pada perempuan.”

Walaupun aktivis banyak membincangkan “masalah” perkahwinan kanak-kanak, Pesuruhjaya Kanak-kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal berkata beberapa pihak berkuasa agama tidak melihat perkahwinan kanak-kanak sebagai isu sensitif atau patut dibincangkan.

Hal ini, katanya, sudah tentu merumitkan lagi masalah tersebut.

Beliau memetik penemuan pada tahun 2018 dari kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) yang menunjukkan separuh daripada negeri-negeri di Malaysia – Sarawak, Pahang, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Negeri Sembilan – enggan mengubah had umur perkahwinan .

Noor Aziah berkata pada tahun 2020, Selangor mengubah undang-undangnya dan menjadikan usia minimum 18 tahun untuk berkahwin baik bagi lelaki dan perempuan, menjadikan Selangor, satu-satunya negeri yang berjaya membawa perubahan berhubung undang-undang perkahwinannya.

Aktivis hak kanak-kanak secara sebulat suara mendesak reformasi undang-undang bagi menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun dalam sebuah acara yang dianjurkan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa PBB (Unicef).

Para aktivis berkata kurangnya pensejajaran usia minimum yang standard untuk perkahwinan adalah faktor utama yang terus membelenggu “masalah” ini di Malaysia.

Perkahwinan kanak-kanak dibenarkan di bawah undang-undang Islam, undang-undang sivil dan undang-undang adat di Malaysia.

Dalam undang-undang keluarga Islam, kanak-kanak di bawah usia 18 tahun dibenarkan berkahwin dengan syarat mereka mendapat persetujuan Mahkamah Syariah.

Dalam undang-undang sivil pula, kanak-kanak perempuan berusia 16 dan 17 tahun dibenarkan berkahwin jika diluluskan ketua menteri atau menteri besar.

Sementara di bawah undang-undang adat Orang Asli, tidak ada batasan umur untuk bwrlahwin.

Noor Aziah turut menjelaskan faktor lain yang mendorong perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Ia termasuk kekurangan akses perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH); kemiskinan; dan juga penerimaan budaya perkahwinan kanak-kanak; selain ibu bapa yang kekurangan maklumat mengenai SRH.

Keengganan kumpulan agama untuk melaksanakan pendidikan seks dan isu-isu lain yang berkaitan akhirnya menjadi punca perkahwinan kanak-kanak menjadi cabaran selama bertahun-tahun, katanya.

Norton-Staal dari Unicef berkata beberapa pemimpin agama menyokong perjuangan badan itu dan bahkan mendapat pengiktirafan serta penerimaan yang jelas mengenai pentingnya untuk pendidikan seksualiti yang komprehensif diperkukuhkan.

“Malaysia menghadiri Global Population Conference di Nairobi beberapa tahun yang lalu dan menyokong komitmen yang dicapai bersama, termasuk memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual.”

“Oleh itu, saya percaya keazaman politik memang wujud dan bahkan beberapa orang pemimpin agama mengakui kepentingannya.”

Pakar Perlindungan Kanak-kanak di Unicef Malaysia Lee Lyn-Ni memaklumkan kepada MalaysiaNow bahawa, “Menetapkan usia minimum perkahwinan pada usia 18 tahun memberikan objektif, bukannya standard kematangan yang lebih subjektif, ia bagi melindungi kanak-kanak daripada berkahwin di usia di mana secara fizikal, mental atau emosi belum bersedia.

“Ini juga akan memastikan kanak-kanak mempunyai kebebasan bersuara dalam menyatakan persetujuan di samping mempunyai tahap kematangan minimum yang diperlukan sebelum berkahwin.”