- Iklan -
Berita

E-Filing tahun taksiran 2020 bermula 1 Mac

LHDN menjangkakan sekitar 3.27 juta borang BE, B, BT, M dan MT, diterima daripada individu yang mempunyai rekod PCB dan Ansuran CP500 bagi 2020.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sistem e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my. Gambar: Bernama
Sistem e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my. Gambar: Bernama

Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2020 dan Tahun Taksiran 2020 melalui e-Filing bagi  Borang E, BE, B, M, BT,MT, TF dan TP bermula 1 Mac ini.

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini,  sistem e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my dan terus ke MyTax, seterusnya ke Perkhidmatan ezHasil dan e-Filing.

Bagi pembayar cukai yang mendaftar masuk buat kali pertama, mereka perlu mendapatkan nombor pin terlebih dahulu dengan hadir di kaunter cawangan LHDN atau secara dalam talian menerusi borang maklum balas di portal rasmi LHDN, manakala bagi yang terlupa kata laluan, mereka boleh tetapkan semula kata laluan baharu melalui e-mel atau nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan LHDN.

Bagi yang menghadapi masalah, mereka boleh hubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (untuk yang berada dalam negara) dan 603-8911 1100  (di luar negara) atau mengunjungi kaunter perkhidmatan LHDN yang berdekatan.

LHDN menjangkakan hampir 530,000 borang E Tahun Saraan 2020 akan diterima daripada majikan berdaftar, manakala sekitar 3.27 juta borang BE, B, BT, M dan MT, diterima daripada individu yang mempunyai rekod Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Ansuran CP500 bagi 2020.

Maklumat lanjut mengenai Program Memfail Borang Nyata bagi 2021 boleh didapati di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2021_1.pdf.