- Iklan -
Berita

Lelaki ditahan ‘rakan keluarga dekat’, bukan pembantu, kata bekas menteri

Xavier cuba elakkan diri dari terlibat dalam siasatan rasuah yang melibatkan bekas kementeriannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar mendakwa seorang rakan pemimpin parti yang direman hari ini kerana siasatan rasuah melibatkan syarikat yang berurusan dengan kementeriannya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan pembantunya, tetapi “rakan keluarga dekat”.

Xavier yang merupakan bekas menteri air, tanah dan sumber asli mengulas mengenai laporan MA Tinagaran, yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai pegawai tugas-tugas khasnya.

“Saya juga berharap agar orang ramai menunjukkan rasa hormat kepada pihak berkuasa dalam mengendalikan siasatan yang melibatkan Tinagaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Xavier yang dilihat cuba mengelak dirinya daripada siasatan SPRM mengatakan tidak pernah membenarkan sebarang unsur rasuah ketika memegang jawatan menteri.

“Dalam laporan media baru-baru ini, nama saya disebut sehingga menimbulkan prasangka terhadap saya sebagai wakil rakyat.

“Bertindak atas nasihat keluarga dan rakan, saya ingin membersihkan nama saya dengan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah “saya tidak akan pernah meninggalkan nilai-nilai sebagai salah seorang reformis awal” dalam PKR.

Semalam, MalaysiaNow memetik sumber dalaman siasatan SPRM terhadap Tinagaran, yang juga timbalan pengerusi PKR Perak, ditahan bersama dua pengarah syarikat dalam satu operasi di Perak.

Laporan itu juga menyatakan SPRM merampas wang tunai RM1.2 juta dari sebuah rumah dan pejabat, sementara beberapa akaun bank individu dan syarikat bernilai RM77 juta dibekukan.

Difahamkan, kes ini berkaitan dengan pemberian projek perlombongan pasir.

Xavier dalam pada itu, menyatakan pemimpin yang terkait dengan rasuah mesti dipertanggungjawabkan untuk memelihara integriti institusi tersebut.

“Keputusan utama yang dibuat oleh kementerian mesti diluluskan secara kolektif dalam Kabinet,” katanya.