- Iklan -
Berita

Suntikan vaksin Covid-19 bermula pada 26 Februari, kata PM

Fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan dan diikuti kumpulan berisiko tinggi pada April.

Fadila Awaludin
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan vaksin Pfizer-BioTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari depan dan tiga terdapat fasa suntikan seperti yang terkandung dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan bermula 26 Februari sehingga April dan diikuti dengan fasa kedua yang akan bermula pada April sehingga Ogos melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19,” katanya ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini”.

Muhyiddin berkata, beliau bakal menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin iaitu bersama-sama dengan petugas barisan hadapan pada 26 Februari.

Katanya, pemberian vaksin fasa ketiga akan bermula dari Mei 2021 sehingga Februari 2022 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Menurut perdana menteri, vaksin Covid-19 akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi seperti pelancongan selain memberikan rakyat peluang beriadah seperti bersukan selain membolehkan aktiviti menziarahi sanak-saudara seperti biasa.

Program imunisasi menyeluruh itu diadakan Putrajaya bertujuan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti sekali gus memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

Dengan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua”, Putrajaya berkata pemberian vaksinasi amat penting untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekitar.

Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.VaksinCovid.gov.my.