- Iklan -
Berita

Najib fail permohonan hina makhamah terhadap Tommy Thomas minggu ini, kata peguam

Permohonan bagi prosiding menghina mahkamah sudah siap sebanyak 98%, kata peguam Najib.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Najib Razak dijangka memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung dakwaan bahawa memoirnya yang diterbitkan baru-baru ini “My Story: Justice in the Wilderness” mengandungi fitnah iaitu mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pemberita bahawa permohonan itu berkemungkinan besar difailkan dalam minggu ini.

“Anak guam saya, Datuk Seri Najib tidak dikaitkan langsung sepanjang perbicaraan kes itu (Altantuya) yang telah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Kata-Katanya (Thomas) dilihat sebagai memalukan mahkamah.

“Saman fitnah adalah sesuatu yang pasti, permohonan bagi prosiding menghina mahkamah sudah siap sebanyak 98% dan kami akan memfailkannya dalam minggu ini. Kami harus memberikan beliau (Thomas) notis tunjuk sebab dahulu,” katanya semasa ditemui pemberita selepas perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Februari lepas, Najib dalam surat tuntutan yang dihantar menerusi firma peguamnya Tetuan Shafee & Co menuntut satu permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas berhubung fitnah terhadap bekas perdana menteri itu yang didakwa terkandung dalam memoir tersebut.

Antara lain, surat tuntutan itu menyebut melalui inferens dan sindiran yang jelas, Thomas telah memberi mesej bahawa beliau, ketika menjadi peguam negara dan pendakwa raya, berpuas hati dengan kebenaran yang terdapat dalam dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka supaya membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Thomas, dalam maklum balas kepada surat tuntutan itu pada 5 Februari lepas, menafikan telah memfitnah Najib.