- Iklan -
Berita

Ada sinar buat keluarga miskin menjelang Tahun Baru Cina

Rumah usang milik Chin Kim Choy akan dibaiki selepas berita mengenai kesusahannya mendapat perhatian.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Chin Kim Choy (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada wakil komuniti Cina, pejabat Parlimen Ampang, Fong Teck Keong (dua dari kanan) ketika melihat keadaan bumbung rumahnya yang di Kampung Baru Ampang, Selangor.
Chin Kim Choy (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada wakil komuniti Cina, pejabat Parlimen Ampang, Fong Teck Keong (dua dari kanan) ketika melihat keadaan bumbung rumahnya yang di Kampung Baru Ampang, Selangor.

Keluarga miskin mendiami rumah usang yang atapnya hampir runtuh bakal menyambut Tahun Baru Cina beberapa hari lagi dengan penuh kegembiraan apabila ramai pihak tampil bagi menghulurkan bantuan.

Selepas melaporkan keadaan rumah Chin Kim Choy yang tinggal bersama isterinya Koo Yok Kian dan anak lelakinya Chin Kok Ming, MalaysiaNow dihubungi ramai pihak yang ingin memberikan bantuan.

Antaranya ialah Wakil Komuniti Cina Ampang Fong Teck Keong dan Ketua Kampung Baru Ampang Wong Khin Fook yang mengunjungi keluarga ini bagi melihat sendiri nasib malang tiga beranak ini.

“Jika hujan lebat dan angin kuat sudah pasti bumbung rumah ini tidak dapat bertahan dengan lebih lama,” kata Fong kepada MalaysiaNow selepas meninjau keadaan rumah itu.

“Saya risaulah keselamatan mereka. Kami akan segera berbincang dengan isterinya Koo untuk memindahkan mereka sementara rumah ini dibaiki.”

Semalam MalaysiaNow melaporkan tentang nasib malang yang menimpa keluarga ini terutamanya selepas Chin diserang angin ahmar sehingga menyebabkannya tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai tukang kayu.

Keadaan Chin yang kurang upaya memaksa isterinya, Koo bekerja sebagai pembantu dapur dengan gaji RM40 sehari untuk menyara mereka sekeluarga.

Ini tidak memungkinkan keluarga ini untuk membaiki rumah usang itu yang atapnya hampir runtuh dan daripada empat bilik, hanya satu sahaja yang boleh digunakan.

Fong memberitahu MalaysiaNow sebelum ini Koo ada membuat permohonan untuk membaiki atap rumahnya dan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM13,000.

Selain itu, terdapat seorang individu memulakan langkah mengumpul dana untuk membaiki keseluruhan rumah keluarga miskin itu.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai di KPKT bahawa peruntukan kepada keluarga ini sudah diluluskan.

“Jadi kami akan bergabung bersama-sama untuk membantu keluarga ini dan setakat ini, sebanyak RM30,000 berjaya dikumpulkan,” katanya.

Sebagai permulaan, Fong akan berbincang dengan keluarga ini memindahkan mereka ke penempatan lain sementara menunggu rumah mereka dibaiki.

“Kita akan bincang dengan isteri Chin dan cari rumah berdekatan supaya memudahkan isterinya pergi kerja.

“Kemudian kontraktor individu yang mengumpulkan dana itu akan mulakan pembinaan dan bila tiba di bahagian bumbung KPKT akan uruskan dengan peruntukan yang diluluskan,” katanya.

Ketua Kampung Baru Ampang, Wong berkata sebelum ini Koo ada minta bantuan bekalan makanan tetapi tidak pernah memberitahu keadaan rumahnya yang semakin teruk.

“Saya memang tidak tahu keadaan keluarga ini.

“Tapi nama isterinya ada dalam senarai penerima bantuan setempat,” kata Wong kepada MalaysiaNow.