- Iklan -
Berita

Pemimpin Melayu PH hanya berdiam diri ketika kami diserang, kata Thomas

Namun, dakwaan itu dicabar oleh pemimpin kanan Amanah Khalid Samad.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Tommy Thomas menamakan beberapa pemimpin Melayu daripada gabungan PH yang langsung tidak bersuara ketika “serangan” perkauman dilakukan terhadap ahli politik gabungan itu antaranya Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar: AP
Tommy Thomas menamakan beberapa pemimpin Melayu daripada gabungan PH yang langsung tidak bersuara ketika “serangan” perkauman dilakukan terhadap ahli politik gabungan itu antaranya Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar: AP

Bekas peguam negara Tommy Thomas di dalam bukunya setebal 550 muka surat mengkritik semua pihak tidak terkecuali pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada perdana menteri sehinggalah bekas kakitangannya.

Salah satu kumpulan yang secara terang-terangan dipersalahkannya adalah pemimpin Melayu daripada gabungan yang berkuasa selama 22 bulan, dengan menuduh mereka tidak melakukan apa-apa ketika serangan “perkauman” dilakukan terhadap ahli politik PH, terutama DAP, parti yang dikaitkan dengan Thomas sama seperti yang ditunjukkan di dalam buku autobografi diterbitkan baru-baru ini.

Thomas menyelar mereka yang berada di dalam Bersatu, Amanah dan PKR kerana gagal menangkis serangan itu, dan menuduh masyarakat Melayu “dibasuh otak” untuk percaya dakwaan yang dilakukan terhadapnya dan DAP.

“Perbuatan membasuh otak kaum majoriti sangat-sangat berjaya,” tulis Thomas, dengan menamakan dirinya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin parti sebagai mangsa.

“Namun, para pemimpin Melayu di dalam PH kekal mendiamkan diri,” katanya di dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”.

Beliau menamakan beberapa pemimpin Melayu daripada gabungan PH yang langsung tidak bersuara ketika “diserang berulang kali daripada orang mereka”: Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Redzuan Yusoff (Bersatu); Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali (PKR) serta Mohamad Sabu dan Khalid Samad daripada Amanah.”

Ketika dihubungi, Khalid yang merupakan ahli Parlimen Shah Alam, menolak dakwaan Thomas.

Beliau mengatakan sebaliknya, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional menuduh orang Melayu dalam pembangkang terlalu mempertahankan orang bukan Melayu.

“Semua ini hanya tuduhan politik dan biarlah rakyat sendiri yang membuat penilaian berdasarkan tindakan dan kata-kata kami,” bekas menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu MalaysiaNow.

Khalid meluahkan rasa pelik, mengapa baru sekarang Thomas membangkitkan isu itu.

“Dia langsung tidak pernah menyuarakan mengenai isu ini ketika kami bersama,” katanya.

“Oleh itu dia sekadar meluahkan rasa hatinya berdasarkan perasaannya, bukan fakta.

“Tuduhan bahawa pemimpin Melayu PH berdiam diri juga adalah tidak benar. Hakikatnya kami juga diserang sebagai tali-barut bukan Melayu, khususnya DAP,” tambahnya.