- Iklan -
Berita

Jumlah kes aktif melepasi angka 50,000, 12 lagi kematian direkodkan

Jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 857 orang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan Dr Nasuha Mohd Fadzil selesai mengambil sampel ujian saringan Covid-19 daripada seorang penduduk di Desa Temuan, Bukit Lanjan.
Seorang petugas kesihatan Dr Nasuha Mohd Fadzil selesai mengambil sampel ujian saringan Covid-19 daripada seorang penduduk di Desa Temuan, Bukit Lanjan.

Sebanyak 3,847 kes baru Covid-19 dikesan hari ini, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 238,721, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,692 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 186,970 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,481 kes diikuti Johor (585), Kuala Lumpur (402), Melaka (329) dan Sabah (233),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 50,894.

“Daripada jumlah itu 305 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 139 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 12 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 857 orang.