- Iklan -
Berita

Usaha untuk tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ Tommy Thomas dimulakan

Jalsoa dikatakan sedang merancang memulakan langkah bagi menarik balik gelaran Tan Sri daripada Tommy Thomas.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AP

MalaysiaNow difahamkan pegawai kehakiman dan perundangan kerajaan sedang merancang memulakan langkah menarik balik gelaran Tan Sri daripada Tommy Thomas selepas bekas peguam negara itu mempersoalkan kebolehan pegawai-pegawainya untuk menggendalikan kes jenayah berprofil tinggi.

Difahamkan langkah untuk mencadangkan kepada Istana Negara sudah bermula melalui petisyen termasuk resolusi daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa).

“Langkah ini untuk mempertahankan integriti pegawai kehakiman selepas dihina oleh bekas bos mereka. Sudah sampai masanya mesej tegas disampaikan kepada penjawat awam,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Jalsoa yang presiden pertamanya bekas ketua hakim negara Salleh Abas yang meninggal dunia bulan lepas menghimpunkan pegawai perundangan kerajaan.

Jalsoa merupakan antara yang menyelar buku “My Story: Justice and Wilderness” kerana kenyataan yang dianggap menghina pegawai dan peguam kerajaan di Jabatan Peguam Negara, yang diketuai Thomas ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Versi PDF buku itu sudah tersebar menyebabkan kemarahan peneribitnya yang berpusat di Petaling Jaya.

Thomas yang merupakan peguam swasta dilantik sebagai peguam negara sebulan selepas kemenangan PH pada 2018, dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran “Tan Sri” oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada September 2019.

Darjah kebesaran itu diberikan dengan cadangan daripada perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang menyertai nama-nama besar lain dalam mempersoalkan versi Thomas berhubung beberapa peristiwa semasa pentadbirannya singkatnya.

Semakan di laman LinkedIn menunjukkan syarikat guaman Thomas menggunakan gelaran “Tan Sri” untuk merujuk kepadanya.

Penarikan balik darjah kebesaran bukanlah perkara baru dan ramai daripada ahli politik pernah ditarik balik gelarannya kerana terlibat dengan jenayah atau mengeluarkan kenyataan kontoversi.

Pada 2014, Sultan Selangor menarik kembali darjah kebesaran Anwar Ibrahim yang membawa gelaran “Datuk Seri” kerana mempersoalkan keputusan Istana untuk tidak melantik isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

Bagaimanapun Anwar dianugerahkan darjah kebesaran daripada negeri-negeri lain dan boleh terus menggunakan gelaran Datuk Seri.

Akan tetapi sekiranya ditarik balik, Thomas tidak mempunyai darjah kebesaran daripada negeri-negeri lain selain yang diterimanya pada 2019.

Kebanyakan bantahan kepada Thomas disebabkan dakwaannya berhubung pegawai Jabatan Peguam Negara tidak berkelayakan untuk menggendalikan kes jenayah berprofil tinggi seperti yang melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Thomas berkata, disebabkan itu beliau terpaksa menggunakan khidmat peguam swasta.

Antara lain Thomas berkata beliau mahukan pendakwaraya dalam kes Najib untuk bebas daripada kesilapan dan kesalahan.

“Pendek kata, saya tidak boleh temui pegawai di Jabatan Peguam Negara yang mempunyai pengalaman mencukupi, kepakaran dan boleh bekerja secara independen untuk mengetuai pasukan pendakwaan sekiranya saya tiada,” tulis Thomas.

Katanya ini menyebabkan beliau terpaksa memilih peguam jenayah swasta yang berpengalaman dan sesuai bekerja dengannya.

Kenyataan itu mendapat reaksi tegas daripada Peguam Negara Idrus Harun yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad.

“Saya ingin menekankan dan memberikan jaminan bahawa saya tidak akan terpengaruh dengan kandungan buku tersebut yang jelas menunjukkan pemikiran dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam seperti Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri,” kata Idrus semalam.

Awal minggu ini, mahkamah tinggi menjatuhkan hukuman bersalah kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad di atas sembilan pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.