- Iklan -
Berita

Polis buka dua kertas siasatan terhadap Tommy Thomas

Thomas juga akan dipanggil polis untuk memberi kenyataan dalam masa terdekat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Polis menerima tujuh laporan polis di seluruh negara berhubung kes bekas peguam negara Tommy Thomas berkaitan penulisan buku berjudul “My Story: Justice in the Wilderness” yang didakwa memfitnah banyak pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan mengambil kenyataan semua pihak yang terlibat dengannya dan pihaknya juga telah membuka dua kertas siasatan berkaitan kes berkenaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jadi pekara itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan untuk mengambil semua tindakan yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau berkata Tommy juga akan dipanggil polis untuk memberi kenyataan dalam masa terdekat.

Semalam, bekas peguam negara sebelum Thomas dilantik, Mohamed Apandi Ali antara yang membuat laporan polis berkaitan kandungan buku tulisan itu yang didakwa turut memfitnah dirinya.

Mohamed Apandi membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini dengan diiringi peguamnya Baljit Singh Sidhu.

Mengulas mengenai pelaksanaan SJR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang didakwa longgar, Acryl Sani berkata dakwaan itu adalah tidak benar bahkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di setiap SJR seluruh negara.

“Peningkatan itu nampak ketara berbanding PKP sebelum ini jadi polis perlu memeriksa supaya orang awam yang mempunyai dokumen lengkap dibenarkan melakukan perjalanan.

“Boleh dikatakan sepanjang tempoh ini lebih 98 peratus orang awam yang melakukan perjalanan mempunyai dokumen berkenaan, jadi orang awam lain diminta bersabar untuk melepasi mana-mana sekatan jalan raya kerana pertambahan kenderaan itu memang telah dijangka,” katanya.