- Iklan -
Berita

Suhakam gesa kerajaan lebih fokus keselamatan kanak-kanak

Talian Nur bantu wujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi menghentikan kejadian keganasan dan penderaan kepada kanak-kanak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Md Tarmidi Yaacob, 52, menunjukkan gambar kenangan ketika Hari Raya Aidilfitri bersama anak angkatnya yang mesra dipanggil Adik. Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu disyaki didera hingga maut oleh ibu kandung dan bapa tirinya di rumah mereka di Taman Krubong Jaya, Melaka. Gambar: Bernama
Md Tarmidi Yaacob, 52, menunjukkan gambar kenangan ketika Hari Raya Aidilfitri bersama anak angkatnya yang mesra dipanggil Adik. Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu disyaki didera hingga maut oleh ibu kandung dan bapa tirinya di rumah mereka di Taman Krubong Jaya, Melaka. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan lebih memfokuskan kepada keselamatan kanak-kanak, menggesa agar kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) mengembalikan semula fungsi Talian Nur yang dikhaskan buat golongan kanak-kanak.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal berkata, selain dikendalikan oleh kakitangan terlatih dan berkelayakan psikososial, Talian Nur perlu diuar-uarkan agar masyarakat lebih peka dalam menjamin keselamatan kanak-kanak termasuk mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

“Talian Kasih yang ada hari ini tidak mempunyai talian khusus seperti itu. Kerajaan juga hendaklah memfokuskan usaha yang lebih bagi menjamin keselamatan kanak-kanak terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Noor Aziah berkata perkara ini harus dipandang serius memandangkan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan golongan kanak-kanak menghadapi kesukaran dalam memperolehi hak asas termasuk pendidikan dan beriadah yang sempurna.

“Adalah sangat mengecewakan apabila mengetahui terdapat ramai kanak-kanak yang tidak dapat hidup dalam persekitaran yang selamat.

“KPWKM merekodkan sejumlah 4,349 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi ke atas kanak-kanak tahun lepas, termasuk 2,287 kes keganasan rumahtangga,” katanya.

Katanya, pihak kementerian juga mengesahkan jumlah kes tinggi terutamanya ketika pelaksanaan pelbagai PKP.

“Sebuah mahkamah di Malaysia menjatuhkan hukuman penjara selama 1,050 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang lelaki kerana merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun sebanyak 105 kali dalam tempoh 2 tahun.

“Semua ini menunjukkan keganasan terhadap kanak-kanak adalah masih sangat ketara di negara kita,” katanya.

Suhakam turut menggesa keluarga angkat agar mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi membolehkan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dipantau.

“Walaupun pengambilan anak pelihara adalah amat digalakkan, JKM hendaklah menyediakan prosedur yang sesuai kepada mereka yang ingin berbuat demikian bagi melindungi kanak-kanak sekiranya penjaga yang sah (ibu bapa kandung kanak-kanak) ingin mengambil semula kanak-kanak untuk dijaga,” katanya.