- Iklan -
Berita

Kanak-kanak mati lemas dalam tong air, ibu bapa ditahan

Siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya di Melaka, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Beliau berkata siasatan awal bagaimanapun mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa sebelum polis menahan ibu dan bapa tiri mangsa, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun.

“Kira-kira pukul 4 petang semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya mati lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan pemeriksaan fizikal menemukan kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan mangsa,” katanya ketika dihubungi di Malaka, hari ini.

Katanya, mayat kanak-kanak tersebut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.