- Iklan -
Berita

Singapura tahan remaja 16 tahun kerana rancang pembunuhan umat Islam ala Christchurch

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata remaja itu merancang melakukan serangan pada 15 Mac, genap dua tahun serangan pengganas di New Zealand.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Masjid Yusof Ishak dan Assyafaah di Singapura, yang dikatakan menjadi sasaran serangan remaja berusia 16 tahun itu.
Masjid Yusof Ishak dan Assyafaah di Singapura, yang dikatakan menjadi sasaran serangan remaja berusia 16 tahun itu.

Pihak berkuasa Singapura menahan seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang pembunuhan umat Islam di republik itu pada 15 Mac, secara kebetulan bersamaan dengan ulang tahun kedua serangan pengganas di New Zealand pada 2019.

Siasatan juga mendedahkan dia membuat rancangan terperinci dan persiapan untuk melancarkan serangan pengganas menggunakan sejenis parang terhadap orang Islam di dua masjid di Singapura.

“Semasa sisatan, dia mengaku meramalkan dua akibat daripada perancangannya itu. Sama ada dia ditangkap sebelum dapat melancarkan serangan itu atau dia dapat melancarkan serangan tersebut namun kemudian mati di tangan polis,” kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu memerikan remaja itu sebagai “etnik India beragama Kristian Protestan” dan merupakan individu termuda yang ditahan di bawah ISA di Singapura disebabkan aktiviti keganasan.

“Remaja itu menjadi radikal disebabkan dirinya sendiri, didorong rasa benci terhadap Islam dan cenderung ke arah keganasan,” kata ISD dan menambah remaja itu turut menonton video-video propaganda IS dan membuat kesimpulan kumpulan pengganas itu mewakili Islam.

ISD berkata, remaja itu merancang untuk melancarkan serangannya di Masjid Assyafaah di Sembawang dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands untuk meniru tindakan rakyat Australia Brenton Tarrant menembak 51 orang yang sedang bersembahyang Jumaat di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand dua tahun lalu.

ISD berkata, remaja itu merancang untuk melancarkan serangan pada 15 Mac, ulang tahun kedua pembunuhan di Christchurch.

Ves taktikal dari sebuah platform dalam talian yang dibeli remaja itu dan jenis parang bakal digunakan dalam serangan dirancang. Gambar: ISD

“Remaja itu kemudian membeli jaket ves taktikal dari sebuah platform dalam talian dan merancang untuk menampal lambang pelampau sayap kanan dan mengubah suainya supaya dapat meletakkan alat rakaman untuk menyiarkan serangan yang akan dilakukan secara langsung.

“Ini sama seperti yang dilakukan oleh Tarrant,” kata kenyataan itu.

Siasatan juga mendapati remaja itu merancang untuk membeli senapang sama seperti yang digunakan dalam serangan di New Zealand.

“Dia turut meneroka kemungkinan membuat bom jenis Triacetone Triperoxide (TATP) dan meniru cara Tarrant membakar masjid-masjid di Christchurch menggunakan gas.

“Namun dia tidak meneruskan idea tersebut atas sebab logistik dan bimbang keselamatan dirinya”.

Menurut ISD, remaja itu akhirnya memilih parang machete sebagai senjata.

“Untuk mempersiap dirinya, remaja itu menonton video-video YouTube dan berasa yakin bahawa dia boleh menusuk tepat pada bahagian pembuluh darah mangsanya dengan mengelar bahagian leher dan dada mangsanya.

“Semasa ditangkap oleh ISD, remaja itu sudahpun menemui parang yang mahu digunakannya di laman Carousel tetapi belum membelinya,” kata kenyataan itu.

Menurut siasatan ISD, remaja itu didapati bertindak sendirian.

“Tiada tanda menunjukkan dia cuba mempengaruhi orang lain mengenai fahaman ekstrem yang dipegangnya atau melibatkan sesiapa dalam perancangannya.

“Anggota keluarga dan kenalannya tidak mengetahui rancangannya untuk melancarkan serangan mahupun rasa benci yang mendalam terhadap Islam”.