- Iklan -
Berita

Desakan singkir Zahid berterusan selepas Umno bahagian Pahang sokong Pemuda

Kelemahan kepimpinan Zahid, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ahli-ahli Parlimen Umno menyebabkan parti Melayu itu hilang hala tuju.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tindak-tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu.
Tindak-tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu.

Selepas kepiminan Pemuda bahagian dan negeri, Ahmad Zahid Hamidi kini menerima tekanan daripada ketua Umno bahagian untuk melepaskan jawatan presiden parti Melayu itu.

Ketua Umno Bahagian Paya Besar Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata disebabkan kelemahan kepimpinan Zahid, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen parti Melayu itu hilang hala tuju.

“Tindak-tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Arah tuju yang tidak jelas berserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan kepada daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli Umno.”

Ahmad berkata, kemelut kepimpinan tertinggi Umno berlarutan sejak Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 dan masih belum dapat diselesaikan.

“Kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap pimpinan Umno membawa beban berat kebangkitan semula Umno.

“Oleh itu, demi bangsa Melayu, Umno, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli parti, Zahid wajar melepaskan tanggungjawab sebagai presiden Umno,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Pemuda Umno bahagian di Johor dan Negeri Sembilan menggesa Zahid disingkirkan sebagai presiden parti, langkah dilihat sebagai satu penentangan terhadap kerjasama ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Selepas itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi pula menggesa parti itu dirombak dan mendesak agar pemilihan dilakukan dengan segera.

Pada Oktober tahun lalu, MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama-sama dengan Najib Razak, menulis surat kepada Istana Negara bagi menyokong Anwar menjadi perdana menteri, sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional yang Umno merupakan sebahagian daripadanya.