PH hantar tiga ahli Parlimen sertai jawatankuasa bebas darurat
PH menamakan Anthony Loke (DAP), Saifuddin Nasution Ismail (PKR) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah).
Terkini
Pakatan Harapan (PH) hari ini menghantar tiga nama ahli Parlimen daripada DAP, PKR dan Amanah untuk menyertai jawatankuasa khas darurat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan.
Dalam satu kenyataan hari ini, PH mengatakan mereka menamakan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP), Ahli Parlimen Kulim – Bandar Bharu Saifuddin Nasution Ismail (PKR) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah).
“Penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.
“Kami serta majoriti ahli-ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Setiausaha PH hari ini.
Minggu lalu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan pengisytiharan darurat Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021 untuk melawan pandemik yang sudah meragut lebih 600 nyawa dan mennjangkiti lebih 160,000 rakyat Malaysia.
Agong turut mengumumkan satu jawatankuasa khas bi-partisan akan ditubuhkan melibatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan nasihat berhubung darurat.
Semasa memperincikan butiran mengenai darurat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikrar kerajaan awam akan berfungsi seperti biasa tanpa pemerintahan tentera.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
