- Iklan -
Berita

Hentikan berpolitik tentang darurat, kata pemikir kepada pembangkang

Chandra Muzaffar berkata, pengumuman penubuhan jawatankuasa bi-partisan untuk mengawasi darurat pandemik memerlukan respons yang lebih matang.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen pembangkang perlu menerima tawaran menyertai jawatankuasa bi-partisan untuk mengawasi darurat Covid-19. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen pembangkang perlu menerima tawaran menyertai jawatankuasa bi-partisan untuk mengawasi darurat Covid-19. Gambar: Bernama

Seorang pengkritik sosial terkemuka Malaysia menggesa pembangkang membuktikan mereka bersungguh-sungguh mahu bersama-sama dalam perang melawan Covid-19 dengan menerima tawaran menyertai jawatankuasa bi-partisan untuk mengawasi darurat Covid-19.

“Pembangkang harus bersikap lebih matang dan menunjukkan rasa bertanggungjawab dan orang ramai akan menghargainya,” kata Chandra Muzaffar kepada MalaysiaNow.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) memulakan langkah mencabar pengisytiharan darurat di mahkamah dan mengugut untuk memboikot jawatankuasa bi-partisan yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Chandra berkata, pengumuman untuk melibatkan ahli Parlimen pembangkang dalam jawatankuasa itu merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam darurat di Malaysia sebelum ini.

“Darurat Covid-19 yang diisytiharkan minggu lepas sangat spesifik dalam orientasinya dengan tarikh tamat dan jangkamasa yang jelas berbanding darurat yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya sebagai respons terhadap kritikan kepada langkah kerajaan mengisytiharkan darurat.

Katanya, ancaman untuk mencabar darurat di mahkamah bukanlah perkara baru.

‘Menyertai jawatankuasa tidak jejaskan pembangkang’

Beliau mempersoalkan keengganan sesetengah pemimpin pembangkang dan ugutan untuk memboikot jawatankuasa itu.

“Sikap yang diambil mereka tidak membantu, ia bukanlah sesuatu yang kita jangka daripada pembangkang yang matang,” kata Chandra yang merupakan salah seorang pengasas PKR ketika mula-mula ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional pada 1999.

“Jawantankuasa itu sendiri selari dengan norma dan prinsip demokrasi. Ia memberikan ruang kepada peranan pembangkang. Pembangkang harus menggunakannya, menyertai dan memberikan pandangan”.

Chandra menangkis kritikan kerajaan mengisytiharkan darurat kerana tidak mahu kehilangan kuasa, mengatakan ia mempunyai objektif yang jelas.

Beliau mengingatkan pada 2013, perdana menteri pada ketika itu, Najib Razak menamatkan pengisytiharan darurat sebelumnya yang masih berkuat kuasa walaupun tidak dirasai kewujudannya.

“Saya tidak fikir mana-mana kerajaan selepas itu yang mahu menjadikan darurat sebagai asas utama pentadbiran”.

Malaysia pernah melalui beberapa darurat utama yang menyaksikan kuasa diberikan kepada polis dan tentera termasuk selepas rusuhan kaum 1969 dan semasa Konfrontasi dengan Indonesia.

Chandra berkata kini ia tidak lagi seperti itu.

“Darurat ini berkait dengan krisis kesihatan yang akan menjurus kepada krisis ekonomi, kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada rakyat.

“Jika pembangkang pedulikan rakyat, mereka harus menyertainya dan bukannya mengkritik dari luar,” kata Chandra.

Katanya, menyertai jawatankuasa darurat tidak akan menjejaskan pembangkang kerana jawatankuasa itu bernaung di bawah Agong dan bukannya perdana menteri.

“Sertai terlebih dahulu. Jika mereka merasakan ia tidak berfungsi, itu cerita lain, tetapi mereka harus beri peluang.

“Kita berada dalam situasi seperti perang dan peranan diberikan kepada pembangkang dalam jawatankuasa itu.

“Saya fikir pembangkang seharusnya mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab,” kata Chandra.