- Iklan -
Berita

Pesawat Sriwijaya Air dikhuatiri terhempas

Pesawat diilaporkan hilang kontak selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pesawat jenis Boeing 737-500 itu membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal. Gambar: AFP
Pesawat jenis Boeing 737-500 itu membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal. Gambar: AFP

Sebuah pesawat komersial Sriwijaya Air dikhuatiri terhempas di perairan Kepulauan Seribu selepas hanya empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju ke Pontianak, hari ini.

Ketua Polis Metro Jaya (Jakarta) Yusri Yunus dipetik media tempatan, berkata terdapat maklumat awal daripada nelayan di kawasan berkenaan yang mendakwa pesawat berkenaan terhempas di perairan itu.

Menurut laporan televisyen tempatan, yang menyiarkan video yang dirakam nelayan, menunjukkan mereka (nelayan) menemukan beberapa serpihan kecil terapung di perairan berkenaan.

“Ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi telah ke lokasi perairan berkenaan,” kata Yusri.

Setakat pukul 7 petang (waktu Indonesia Barat), belum ada penyataan rasmi daripada Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) atau syarikat penerbangan Sriwijaya Air, berkaitan dakwaan nelayan berkenaan.

Pesawat jenis Boeing 737-500 itu membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara selepas berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, pukul 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).