- Iklan -
Berita

Sekolah, institusi pendidikan dibuka 20 Januari, IPT 1 Mac

PM sekali lagi menegaskan jaminan kerajaan dalam memastikan bekalan vaksin yang diterima berkesan, selamat dan mencukupi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Tahun Baru 2021 yang disiarkan secara langsung malam tadi. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Tahun Baru 2021 yang disiarkan secara langsung malam tadi. Gambar: Bernama

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka pada 20 Jan mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagi pembukaan institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM untuk sesi 2021, ia tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana menteri berkata untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac.

“Bagi IPT di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baru 2021 yang disiarkan di semua saluran televisyen tempatan malam tadi.

Berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, permulaan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut melibatkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional.

Murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi Home-based Learning atau pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Mengenai vaksin Covid-19, Muhyiddin sekali lagi menegaskan jaminan kerajaan dalam memastikan bekalan vaksin yang diterima Malaysia adalah berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini dan diberi secara percuma.

Beliau berkata Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021.

Perdana menteri berkata beliau dan petugas barisan hadapan akan menjadi antara orang yang terawal untuk menerima suntikan vaksin ini bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan.

“Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan penyakit pernafasan kronik juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin,” katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut tetap akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa program vaksinasi itu hanyalah satu langkah pencegahan, bagaimanapun SOP yang ditetapkan masih perlu dipatuhi pada setiap masa.