Bekas menteri agama, Mujahid Yusof Rawa menolak dakwaan tidak melakukan pembaharuan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semasa berkuasa, mengatakan konsep “Islam Rahmatan Lil Alamin” yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) berjaya diterima menjadi dasar negara sebagai kejayaan terbesar.
Naib Presiden Amanah itu berkata, konsep yang bermaksud “Islam Rahmat Untuk Semua” itu diluluskan Kabinet pada 25 Oktober 2019 dan turut mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Soalan yang dah terjawab…saya kata itu pandangan dia…saya bertindak atas ‘action speaks louder than words’,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Anda ketinggalan keretapi”.
Kelmarin bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Syed Ali Tawfik Al-Attas memberi gambaran larangan memaparkan tulisan Krismas dan perayaan agama lain di dalam kedai yang diiktiraf halal sebagai “tidak logik”, dengan mengatakan Jakim jauh tersasar selepas kerajaan terdahulu gagal menunaikan janji untuk melakukan perubahan terhadap agensi itu.
“Di manakah perubahan yang sangat dinanti-nanti rakyat Malaysia apabila kerajaan baru memerintah?” soalnya, merujuk kepada kerajaan 22 bulan PH.
Menjawab kepada dakwaan itu Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar berkata penerbitan sebuah video pada pada 23 Disember, 2019 merumuskan pelbagai pembaharuan dilakukannya meskipun baru setahun memegang jawatan itu.
Dalam video berdurasi satu minit, Mujahid menerangkan satu persatu pencapaian yang dilakukan PH pada ketika itu termasuk dalam bidang kehakiman dan guaman, dakwah dan media, pengurusan haji dan pensijilan halal, sosio ekonomi, pengurusan masjid, pendidikan dan modal insan.
Bagaimanapun, video tersebut tidak menjelaskan secara spesifik apakah pembaharuan yang dilaksanakan Mujahid terhadap Jakim semasa menjadi menteri agama.
Minggu lepas, MalaysiaNow melaporkan mengenai keengganan sebuah kedai untuk menulis ucapan “Merry Christmas” di atas sebiji kek kerana ia boleh melanggar syarat ditetapkan oleh bahagian pensijilan halal Jakim.
Kedai kek itu memohon maaf kepada pelanggan dan menggantikan ucapan itu dengan “Selamat Bercuti”.
Jakim kemudiannya menjelaskan tiada larangan khusus untuk ucapan seperti Merry Christmas kepada produk yang disahkan sebagai halal akan tetapi ucapan seperti itu tidak boleh dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.
Syed Ali mengatakan tiada logik kepada tindakan tersebut kerana prinsip Islam adalah mengenai “tindakan bergantung pada niat seseorang”.
“Dalam kes ini, saya tak rasa niat premis itu adalah untuk menghina umat Islam, atau menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam atau mengganggu keimanan mereka. Jika itu seperti dikatakan, betapa lemah dan jahilnya kita?” katanya.
Beliau mengatakan apa yang berlaku sekadar menunjukkan kejahilan dalam kalangan umat Islam, sama seperti apa yang berlaku kepada orang Kristian ketika “zaman gelap” di Eropah.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.