- Iklan -
Berita

ERC cadang sistem campuran untuk reformasi pilihan raya

Sistem Senarai Perwakilan Berkadar Tertutup bagi memilih ahli Parlimen manakala Sistem Pemenang Undi Terbanyak dikekalkan di peringkat DUN.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Sistem Pemenang Undi Terbanyak di peringkat Dewan Undangan Negeri dicadang dikekalkan. Gambar: Bernama
Sistem Pemenang Undi Terbanyak di peringkat Dewan Undangan Negeri dicadang dikekalkan. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan agar perubahan dilakukan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia yang diadaptasi daripada United Kingdom dan sudah diguna pakai semenjak pilihan raya pertama kali diadakan di negara ini pada tahun 1955.

Malaysia selama ini mengamalkan sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) atau dikenali sebagai Sistem Pemenang Undi Terbanyak bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermakna calon yang memperoleh majoriti undi akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Dalam syor kepada Putrajaya yang dikemukakan pada Ogos, ERC mencadangkan sistem pilihan raya campuran dilaksanakan di mana sistem Senarai Perwakilan Berkadar Tertutup (CLPR) bagi memilih ahli Parlimen manakala sistem FPTP dikekalkan di peringkat DUN.

“Sistem CLPR merupakan sistem perwakilan secara perkadaran. Jumlah kerusi yang dimenangi dalam Dewan Rakyat akan ditentukan berdasarkan undi keseluruhan yang diperoleh oleh setiap parti politik.

“Melalui kaedah ini, pengundian dilakukan berdasarkan pilihan ke atas parti politik dan bukan calon,” kata ERC dalam laporan yang dilihat MalaysiaNow.

Sebagai contoh, United Kingdom kini turut menggunakan sistem pilihan raya campuran di mana pemilihan perwakilan ke Parlimen negara itu dibuat menggunakan sistem FPTP manakala wakil untuk kerajaan tempatan dipilih menggunakan sistem perwakilan berkadar (PR).

Menurut ERC, kelebihan sistem CLPR adalah ia memberi bentuk representasi yang lebih adil bagi pengundi mengikut “Block Constituency” berbanding sistem FPTP yang hanya tertumpu kepada satu-satu kawasan.

“Dalam hal ini, tiada kawasan khas diperuntukkan dan tiada keperluan untuk mengadakan sempadan bahagian pilihan raya.

“Oleh yang demikian, semua parti akan merebut bilangan kerusi yang diperuntukkan melalui pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan sahaja”.

“ERC berpandangan dalam konteks meningkatnya kualiti penyertaan, CLPR merupakan sistem yang paling demokratik dan sesuai untuk diamalkan.”

Dalam sistem CLPR, bahagian pilihan raya diwujudkan secara Block Constituency yang ketika ini menggunakan sempadan negeri dan bilangan kerusi yang di pertandingkan adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.“Parti-parti politik akan mengemukakan senarai calon mereka kepada badan pengurusan pilihan raya.

“Sekiranya sesebuah parti mendapat 40% undi dalam ‘Block Constituency’, jumlah undi yang diperoleh akan dikadarkan kepada jumlah kerusi, dan sekiranya kadar peratusan tersebut bersamaan dengan nilai sebanyak 80 kerusi, maka calon yang disenaraikan daripada nombor 1 sehingga 80 dalam senarai parti akan dipilih untuk menduduki kerusi Parlimen.

“ERC berpandangan dalam konteks meningkatnya kualiti penyertaan, CLPR merupakan sistem yang paling demokratik dan sesuai untuk diamalkan.”

ERC berkata, dengan menggunakan sistem ini, semua undi akan dikira (kecuali undi ditolak) bagi memberi merit kepada parti politik yang bertanding.

“Oleh yang demikian, konsep undi yang sia-sia (wasted votes) akan dapat dikurangkan atau dihapuskan terus. Secara asasnya semua undi yang dikira akan memberi markah kepada parti bagi mendapatkan kerusi dalam dewan.”

Menurut sistem ERC, sistem CLPR juga lebih mesra parti-parti kecil yang melepasi “threshold” (contohnya 5% daripada undi keseluruhan) dan akan diberikan satu kerusi.

“Oleh yang demikian, parti-parti kecil yang mewakili pelbagai minat dan latar belakang seperti etnik dan golongan minoriti lebih berpeluang untuk mendapat suara secara terus di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, bagi menjamin penyertaan golongan minoriti seperti masyarakat Orang Asli, ERC mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memperuntukkan secara jelas beberapa kerusi untuk golongan tersebut.”

Dalam laporan kepada Putrajaya, ERC berpandangan sistem FPTP sesuai dikekalkan di peringkat DUN kerana para perwakilan di Dewan Rakyat diperlukan dalam perbincangan isu-isu nasional manakala perwakilan di DUN diperlukan untuk membincangkan permasalahan dalam negeri dan isu-isu tempatan dalam kawasan mereka.

“Ini kerana di peringkat negeri, pengundi masih memerlukan wakil yang mudah untuk mereka temui bagi menyampaikan hasrat dan permasalahan tempatan mereka.

“Melalui gabungan kekuatan kedua-dua sistem ini, isu-isu tempatan masih boleh disuarakan oleh wakil-wakil di peringkat negeri dan kualiti perbahasan di peringkat Dewan Rakyat turut mampu dipertingkatkan,” kata laporan itu.