Sultan Selangor, Sultan Perak, Dr Mahathir beri penghormatan terakhir kepada Rahah
Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, petang semalam.
Terkini
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Sharafuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, tiba di masjid berkenaan pada 9.15 pagi, sementara Sultan Nazrin tiba bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 9.50 pagi.
Antara tetamu kenamaan yang dilihat hadir pada upacara bermula pada 9 pagi itu ialah bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, petang semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Yeo Bee Yin (Bakri), Teresa Kok (Seputeh) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman.
Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai, turut kelihatan di masjid tersebut.
Orang ramai terdiri daripada berbilang kaum turut hadir di masjid berkenaan seawal 8.30 pagi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Upacara penghormatan terakhir itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.
Syarat ketat seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka perlu dipatuhi semua yang hadir apabila masuk ke dalam masjid dan mereka tidak dibenarkan berada terlalu lama dalam rumah ibadat itu.
Tinjauan mendapati lapan khemah didirikan di tempat letak kenderaan masjid itu sebagai ruang menunggu kepada ahli keluarga mahupun orang awam sebelum masuk ke dalam masjid.
Orang ramai perlu mencatat nama pada buku pendaftaran atau menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan nombor angka giliran juga diberi kepada mereka.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di masjid berkenaan dari kediamannya pada 7.50 pagi untuk dimandi dan dikafankan.
Upacara penghormatan terakhir itu bermula sejak 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.
Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara. Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.