- Iklan -
Berita

Ungku Aziz dan persoalan ‘minda’

Ungku Aziz adalah pencipta perkataan 'minda' yang diterjemahkan daripada perkataan bahasa Inggeris 'mind'.

Zin Mahmud
3 minit bacaan
Kongsi
Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Gambar: Bernama
Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Gambar: Bernama

Pada tahun lalu Ungku Aziz mengadu pada seorang bekas wartawan Utusan yang amat rapat dengannya dan sering mengunjunginya bertanyakan mengapa Kamus Besar Utusan tidak memasuki perkataan “minda” dalam entrinya.

Apabila mendapat aduan itu tentulah penulis sebagai warga kerja Utusan terkilan bagaimana perkataan amat penting itu terlepas pandang daripada pembuat kamus dan editor penerbitnya yang merupakan anak syarikat kumpulan Utusan.

Adakah ia mencerminkan bahawa bangsa Melayu tanpa sedar mengabaikan soal “minda” dalam kehidupan hingga menyebabkan banyak kelemahan serta kurang cergas untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa.

Ungku Aziz adalah pencipta perkataan “minda” yang diterjemahkan daripada perkataan bahasa Inggeris “mind”.

Dalam satu wawancara beliau menyebut bahawa tidak ada perkataan bahasa Melayu yang boleh mengungkapkan konsep “mind” itu. Tetapi baginya, konsep “minda” merupakan perkara yang perlu diutamakan dalam kehidupan terutamanya bagi orang Melayu.

Kamus Besar Utusan itu diusahakan pada tahun 1995. Ia bercita-cita untuk menjadi kamus besar tambahan kepada Kamus Dewan yang diterbitkan kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pembikinnya adalah seorang bekas wartawan Berita Harian yang hobinya mengumpul perkataan bahasa Melayu yang digunakan dalam semua akhbar harian, radio dan televisyen.

Jadi setiap hari, beliau membaca dan mencatat semua perkataan yang tersiar dalam akhbar, radio dan televisyen bahasa Melayu, yang akhirnya menjadi entri Kamus Besar Utusan.

Maknanya pada tahun-tahun beliau mengumpul perkataan itu, “minda” tidak timbul dalam media massa Melayu.

Sememangnya mungkin minda tidak timbul dalam kesedaran orang Melayu.

Tetapi Ungku Aziz yang nampak tentang keutamaan minda itu.

Daripada kehidupannya, dapat dilihat betapa dengan minda, beliau mencerap masalah kemiskinan orang Melayu terutama melalui kajiannya terhadap nelayan Pantai Timur.

Daripada mindanya juga, beliau mencadangkan Tabung Haji dan komitmennya terhadap gerakan koperasi. Ia merupakan suatu sistem komersial yang adil berbanding dengan syarikat milik swasta orang perseorangan.

Ungku Aziz adalah pencipta perkataan “minda” yang diterjemahkan daripada perkataan bahasa Inggeris “mind”.

Syarikat koperasi adalah milik penggunanya sebagai ahli yang keuntungannya kembali pada mereka sementara keuntungan syarikat swasta hanya pergi pemegang sahamnya.

Sektor koperasi ini berada di tengah-tengah antara sektor milik awam dengan sektor swasta.

Beliau mula memperkenalkan syarikat koperasi ini dengan kedai buku di Universiti Malaya dan diikuti dengan penubuhan pasar raya koperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur, dengan mengikut model Jepun.

Pengurus-pengurusnya dihantar ke Jepun untuk dilatih dengan sistem di sana.

Saya mula menyedari mengenai Ungku Aziz pada 1974 ketika demonstrasi pelajar yang bermula di Universiti Malaya, dan kemudian merebak ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Mara, Institut Teknologi Kebangsaan dan Kolej Pertanian Serdang.

Pada masa itu penulis berada di Tingkatan 3. Menteri pelajaran pada masa itu ialah Dr Mahathir Mohamad. Tanggung jawab bagi mengatasi cabaran ini di UM ialah Ungku Aziz selaku naib canselor.

Selepas krisis itu dapat diatasi, akhbar pelajar Universiti Malaya yang bernama Mahasiswa Negara dihentikan penerbitannya.

Sebagai ganti, Ungku Aziz menggantikannya dengan akhbar Budiman yang diterbitkan oleh pejabat Hal Ehwal Pelajar dan dijual juga pada orang ramai.

Bagi Ungku Aziz, konsep “budi” dan menjadi orang “budiman” amat penting untuk kehidupan masyarakat Melayu. Sepanjang hayatnya, beliau sering bercakap mengenai “budi”.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan “budi” pula, seseorang perlu membaca pantun tradisional Melayu. Banyak pantun menyentuh soal budi. Jika banyak orang Melayu menjadi budiman, masyarakat berfungsi dengan lebih baik.

Sehingga akhir hayatnya, beliau berusaha mengumpul pantun-pantun tradisional yang disifatkannya sebagai karya unggul bangsa Melayu yang bukan saja perlu dipertahankan tetapi  diamalkan.

Ungku Aziz merupakan ahli ekonomi yang dari segi jasanya menunjukkan beliau sayang pada bangsanya. Caranya adalah mencari jalan penyelesaian praktikal bagi masalah kemiskinan.

Tetapi keutamaannya adalah perubahan mental orang Melayu dengan menggunakan minda serta memliki budi kerana dalam budaya bangsa sudah ada nilai-nilai unggul yang wajar dipulihkan.

Di UM, bagi memperbanyakkan pelajar-pelajar sains di kalangan orang Melayu, beliau memperkenalkan program Asasi Sains. Ia merupakan satu cara mencari jalan penyelesaian kekurangan tenaga profesional sains dan teknologi negara.

Tetapi beliau tetap mahukan orang Melayu membuka minda mereka pada pengetahuan dunia yang luas dan pelbagai.

UM membawa masuk majalah “Courier” terbitan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kurier Unesco, dan dijual pada orang ramai dengan harga murah.

Ia menjadi satu satu majalah berbahasa Melayu yang mengandungi pengetahuan sains, sejarah dan budaya bermutu tinggi dan bertahap antarabangsa.

Ungku Aziz melakukan banyak perkara yang tidak terfikir oleh orang lain. Semuanya bersikap inovatif, ikhlas, tidak berbalah, tidak bermegah dan praktikal seperti menekankan soal pemakanan dan senaman.

Semuanya kerana menggunakan minda dan wajar dicontohi oleh masyarakat Melayu.

Terima kasih Profesor Diraja Ungku Aziz. Al-Fatihah.

Zin Mahmud, seorang wartawan berpengalaman lebih empat dekad, merupakan kolumnis MalaysiaNow.